Jenazah Baihaqy dibawa ke kampung di Kelantan

IPOH: Jenazah Laskar Kelas 1, Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28 dituntut ahli keluarga selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira jam 9 malam.

Van jenazah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang membawa jenazah Allahyarham kelihatan meninggalkan perkarangan Jabatan Forensik HRPB tidak lama kemudian menuju ke kampung Nik Muhammad Baihaqy di Kampung Kubang Keranji, Pasir Tumbuh di Kota Bharu, Kelantan.

Jenazah Nik Muhammad Baihaqy dituntut isteri dan beberapa ahli keluarga selepas proses bedah siasat yang mengambil masa kira-kira lima jam selesai.

Isteri Allahyarham, Noor Bazlin Mohammad, 26, berkata jenazah dibawa ke kampung halaman suaminya untuk disembahyangkan dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Limbat, Pasir Tumbuh di Kota Bharu.

"Jenazah akan dikebumikan di sebelah kubur ayah suami yang meninggal dunia dua bulan lalu akibat kanser," katanya ketika ditemui.

Ketika ditanya mengenai punca kematian, beliau mendakwa pihak HRPB memaklumkan kepadanya punca kematian suaminya disebabkan pendarahan dalam paru-paru.

Justeru, beliau percaya ada unsur jenayah dalam kematian arwah berikutan terdapat pendarahan dalaman pada tubuh mangsa.

Sementara itu, proses bedah siasat seorang lagi anggota TLDM, Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, yang juga meninggal dunia di tempat sama semalam kini sedang dijalankan dan dijangka mengambil masa kira-kira empat jam. 



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments