Larang pesta arak di tempat awam

KUALA NERUS: Kerajaan Selangor patut mencontohi langkah kerajaan Pusat menguatkuasakan larangan merokok di taman awam, untuk melarang penganjuran pesta arak di tempat awam.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan Tantawi, menyifatkan kerajaan Selangor angkuh dan mencabar umat Islam apabila terus meluluskan pesta arak Octoberfest di pusat beli belah di negeri itu, walaupun mendapat tentangan banyak pihak.

Beliau berkata, kerajaan Selangor yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali patut belajar kaedah digunakan kerajaan Pusat apabila menguatkuasakan larangan merokok di taman awam.

"Jika dibandingkan antara minuman beralkohol itu dengan rokok, sudah pastilah meminum arak lebih memudaratkan.

"Kita tidak melarang orang bukan Islam minum arak. Itu hak mereka, tetapi tidak perlu anjurkan pesta seolah-olah mempromosikan minuman beralkohol itu secara terbuka.

"Cuba ikut kaedah kerajaan Pusat yang larang merokok di taman awam. Begitu juga patut dilakukan untuk minum arak kerana ini negara Islam," katanya pada sidang media selepas program ceramah praFastaqim 2.0 dan solidariti Rohingya di Pantai Tok Jembal, lewat malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husein Awang.

Ketika diminta mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim yang mengingatkan PAS tidak mencampuri urusan penganjuran pesta arak, Pengerusi penganjur Fastaqim 2.0 itu berkata, kenyataan berkenaan bersikap dangkal dan keanak-anakan serta tidak matang.

Katanya, PAS bukan hanya ditubuhkan untuk menjaga kepentingan umat Islam di Kelantan, sebaliknya bertanggungjawab menjaga kepentingan Islam di seluruh negara.

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran 'Better Beer Festival 2017' (BBF17), selain memberi amaran mengambil tindakan undang-undang jika penganjur meneruskannya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pula dilapor mendedahkan wujud perancangan oleh pihak militan yang mahu sabotaj penganjuran BBF17 yang sebelum ini dijadualkan pada 6 dan 7 Oktober di ibu negara.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments