Pelajar Malaysia maut nahas di Indonesia

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia, Syahirah Amiruddin, 22, dilaporkan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Sulawesi Selatan, Makassar, Indonesia.

Kemalangan membabitkan dua buah motosikal dan sebuah kereta turut menyebabkan dua lagi adik beradik mangsa, Suria Iskandar Amiruddin, 25 dan Syazwani Amiruddin, 22, mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan di Rumah Sakit Umum Pusat (RSUP) Dr Wahidin Sudirohusodo, Makassar.

Mangsa adalah pelajar Fakulti Perubatan di Universitas Hasanuddin Makassar.

Menurut kakak kepada mangsa, Suhaila Amiruddin, 36, pihak keluarga mengetahui mengenai kejadian yang menimpa adik-adiknya menerusi pesanan aplikasi Whatsapp Group.

“Pesanan itu menyebut adik saya, Iskandar terbabit dalam kemalangan, bagaimana pun ia tidak memberitahu mengenai keadaan Syazwani dan Syahirah.

“Abang saya kemudian menghubungi pihak Kedutaan Malaysia di Indonesia bagi mengetahui kejadian sebenar, dan telah dimaklumkan mengenai kemalangan terbabit.

“Mereka memaklumkan adik saya, Syahirah meninggal dunia sementara Iskandar dan Syazwani sedang menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi BH.

Suhaila berkata, kedua ibu bapanya dan abangnya telah berlepas ke Makasar pada jam 6 pagi tadi.

“Mereka akan transit di Jakarta dan kemudian akan terus ke Makassar untuk menguruskan jenazah Allahyarham dan memeriksa keadaan dua lagi adik saya.

“Mereka bertiga sedang bercuti ketika kejadian itu berlaku, mereka telah merancang untuk bercuti bersama sebanyak tiga kali, baru kali ini berpeluang bercuti bersama.

“Setakat ini, perkembangan terkini keadaan mereka, Iskandar dilaporkan stabil dan sudah boleh bercakap sementara Syazwani masih menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan portal berita online, Bonepos.com, Allahyarham bersama dua adiknya dalam perjalanan ke Pantai Tanjung Bira yang terletak 192 kilometer dari bandar Makassar dengan menaiki dua buah motosikal.

"Kemalangan itu berlaku kira-kira jam 4 petang waktu tempatan, mangsa bersama dua lagi adiknya yang menaiki motosikal terbabit dengan kemalangan dengan sebuah kereta.

"Mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialami pada bahagian dahi dan patah di bahagian leher," katanya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments