KUALA LUMPUR: Suami Allahyarham Datuk Maznah Hamid, Datuk Seri Shaheen Mirza Habib menyifatkan pemergian isteri kesayangannya sesuatu yang mengejutkan seisi keluarga kerana setahunya Allahyarham tidak menghidapi sebarang penyakit yang serius.
Katanya, Allahyarham hanya mengadu sering mengalami kepenatan setiap kali habis urusan atau program yang dihadirinya.
"Arwah tidak ada penyakit yang serius, cuma sejak dua bulan lalu beliau kerap berasa penat dan selepas balik dari Kedah bulan lalu, dia mengadu sukar untuk bernafas.
"Saya menyangka mungkin ada yang tidak kena dengan paru-parunya dan keluarga telah menghantar beliau untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
"Hasil pemeriksaan barulah dapat dikesan bahawa ada masalah dengan injap jantungnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Institut Jantung Negara (IJN).
Shaheen Mirza berkata, kali terakhir dia berkomunikasi dengan arwah isterinya pada Khamis lalu, sebelum arwah menjalani pembedahan.
"Sejak masuk ke IJN, dia sentiasa ditemani ahli keluarganya.
"Malam sebelum pembedahan kami sekeluarga tidur bersamanya, dia sentiasa kekal positif dan tidak memikirkan tentang penyakitnya," katanya.
Sementara itu, lebih 100 rakan dan saudara mara terdekat hadir untuk menziarahi jenazah di IJN.
Antara yang hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Jalil dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments