Matic tekad terus julang United

LONDON: Nemanja Matic berkata, penyokong Manchester United belum melihat permainan terbaiknya susulan aksi 'tarik menarik' ketika jendela perpindahan yang mengakibatkan persiapan pra-musimnya terganggu.

Matic menyertai United daripada kelab pencabar Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea pada perpindahan musim panas lalu dengan nilai STG40 juta (RM224.82 juta).

Perpindahannya dilihat cukup mengejutkan malah ramai pengkritik mempersoalkan keputusan penyandang juara itu untuk melepaskannya.

Beraksi di posisi tengah bertahan dan menjulang trofi EPL musim lalu, Matic tetap merendah diri di sebalik permulaan cemerlang United musim ini dan berkata masih ada yang boleh ditawarkan olehnya.

"Saya tidak mempunyai pra-musim," kata Matic. "Saya berlatih bersendirian. Saya boleh merasakannya dalam beberapa bahagian dalam permainan saya.

"Sudah tentu badan saya masih lagi belum bersedia dan saya mendapat beberapa kesukaran tetapi saya cuba untuk menyembunyikannya dan bermain dengan mudah. Ia akan menjadi lebih baik."

Kunjungan United ke Liverpool minggu depan dalam aksi liga akan mengukur kualiti yang dimiliki skuad bimbingan Jose Mourinho selepas membelasah kelab bergelut Crystal Palace 4-0 Sabtu lalu.

United kini dibezakan dengan jumlah jaringan dengan pendahulu, Manchester City.

Selain itu, kemenangan keenam berturut-turut United di Old Trafford musim ini dalam semua kejohanan juga tidak boleh dipandang ringan selepas prestasi longlai di laman sendiri musim lalu mengakibatkan mereka tercicir daripada perebutan kejuaraan.

"Seperti kamu tahu, kami menang hampir kesemua perlawanan dan kami hanya seri sekali di Stoke dan di Liga Perdana, ia sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan," kata Matic.

"Ia hanya boleh dilakukan oleh pasukan-pasukan yang besar, jadi kami membuktikan yang kami adalah pasukan yang besar dan kami perlu meneruskannya." - AFP



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments