Mbappe dalam perhatian Deschamps

CLAIREFONTAINE-EN-YVELINES (Perancis): Jurulatih Perancis, Didier Deschamps bersemangat dengan kepelbagaian corak serangan yang dipamer pemain remaja, Kylian Mbappe dalam usaha Les Bleus mengesahkan kelayakan Piala Dunia hujung minggu ini.

Skuad kendalian Deschamps akan berdepan Bulgaria dan Belarus dalam dua aksi terakhir kelayakan Piala Dunia, dan enam mata penuh akan mengesahkan tiket Perancis ke Russia 2018.

Kepantasan Mbappe sering digunakan sebagai penyerang tengah atau posisi sama dengan bekas bintang Perancis Thierry Henry - di sebelah kiri serangan tiga serangkai.

Tetapi Deschamps percaya dia turut boleh beraksi dengan baik di sebelah kanan, posisi baharu bersama Paris Saint-Germain musim ini.

"Dia beraksi dengan baik bersama Paris. Dia bermain banyak perlawanan dan sudah mengesahkan apa yang dilakukan ketika di Monaco (musim lalu), dan kini semakin meningkat," kata Deschamps.

"Dia lebih kerap di sebelah kanan ketika di Paris, biarpun kelihatan lebih bebas. Dia adalah seorang penyerang, dia boleh bermain dengan baik di tengah dan di kiri.

"Agak meragukan sama ada dia boleh beraksi baik di sebelah kanan kerana kami tidak pernah melihat dia bermain di situ, dan (kini) kami menyedari yang dia boleh beraksi dengan baik di bahagian itu juga."

Perancis memiliki kelebihan satu mata ke atas Sweden dalam Kumpulan A tetapi Belanda dan Bulgaria masih mampu layak secara automatik atau perlawanan playoff yang ditawarkan untuk tempat kedua.

Perancis akan bertandang ke Bulgaria Sabtu ini sebelum menerima kunjungan Belarus, tiga hari kemudian.

Sebarang kesilapan pada perlawanan itu akan menyebabkan Perancis kehilangan kedudukan teratas, dengan Sweden yang dijangka mampu menewaskan Luxembourg pada Sabtu.

"Ini adalah minggu penentuan kerana ia adalah dua perlawanan kelayakan kumpulan terakhir," kata Deschamps. - AFP



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments