PETALING JAYA: Berjubah biru dengan jalur keemasan, raut wajahnya redup dan senyumannya pada hari itu begitu ketara bezanya.
Di tepi pentas, hanya Tuhan saja yang tahu betapa berdegup kencang jantungnya, tapi kerana teruja dan semangat yang berkobar-kobar, dia menanti giliran penuh sabar.
“Penerima sijil graduasi bagi program pendidikan khas integrasi… Afiatul Salsabiila binti Mohd Noor,” pengumuman yang dirakamkan itu menyaksikan seorang pelajar istimewa yang mengalami sindrom down menerima sijil pada Majlis Graduasi Ke-7 di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Damai di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Antara insan yang paling gembira menyaksikan peristiwa bersejarah itu sudah tentunya abang si cilik itu, Hammad Zamakhashari Mohd Noor, 30, atau Bengah.
Mungkin lensa kamera menjadi tumpuan merakamkan saat manis tersebut, tetapi ia tidak menidakkan emosi dalam diri personaliti media sosial itu.
“Jujurnya, saya sebagai abang dan antara yang paling rapat dengan Afiatul, rasa sebak bila melihat dia berdiri di pentas pada majlis graduasi.
“Sebak rasa gembira sebab dia dah sampai ke tahap ni, untuk tamat persekolahan. Saya bergurau dan bermanja dengan gelarkan dia sebagai ‘kakak tingkatan tujuh’ sebab umur dia sekarang dah 19 tahun,” katanya kepada mStar Online.
Bengah yang turut dikenali dengan hashtag #AbangYangPenyayang dalam kalangan netizen memberitahu, tahun ini merupakan tahun terakhir Afiatul bersekolah selepas belajar dalam aliran pendidikan khas di sekolah tersebut selama tujuh tahun.
Penerima Anugerah Personaliti Media Sosial pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 30 (ABPBH30) ini tidak tersinggung saat diajukan pertanyaan pengikut di laman sosial mengenai apakah hala tuju Afiatul selepas tamat persekolahan.
“Ramai yang tanya selepas ini Afiatul akan bekerja ke, akan sambung belajar ke? Kita sebagai manusia hanya mampu merancang, tapi apa yang lebih penting hidup perlu diteruskan.
“Ada rezeki daripada Allah yang tertulis untuk dia. Cuma kita yang tak tahu. Tapi Bengah dan keluarga akan terus membimbing dia, insyaAllah,” kata Bengah yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik, manakala Afiatul anak bongsu.
Bagaimanapun, Bengah berkata, dia tidak menghalang minat adiknya untuk menonjolkan bakat secara spontan semasa mereka bersama-sama membuat persembahan video atau promosi produk di laman sosial.
Dalam pada itu, Bengah berkongsi semangat kepada keluarga lain yang turut mempunyai insan istimewa seperti adiknya.
“Teruskan bersama mereka, jangan putus harapan untuk berusaha meyakinkan mereka supaya hidup seperti biasa, sebagaimana kita yang lain.
“Saya juga manusia biasa, tidak sempurna dan ada juga kekurangan tetapi saya cuba berusaha menjadi abang yang penyayang untuk Afiatul dan contoh yang terbaik buat sesiapa yang merasa terbeban atau malu dengan insan istimewa,” katanya.
Comments
comments
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments