Chong Wei 'lepas geram'

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berada di landasan terbaik untuk mengakhiri badi tumpas di pusingan awal dalam dua kejohanan berturut-turut sebelum ini apabila menumpaskan pemain Taiwan, Hsu Jen Hao pada pusingan pertama Terbuka China di Pusat Sukan Olimpik Haixia, Fuzhaou hari ini.

Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh langsung tidak memberi belas kasihan kepada lawan berusia 26 tahun itu apabila hanya mengambil masa 26 minit untuk mencatat kemenangan mudah 21-5, 21-7.

"Saya tidak mahu komen lanjut mengenai perlawanan hari ini, semuanya berjalan lancar dan paling penting sekarang ini fokus satu demi satu pusingan yang perlu saya hadapi. Apa yang penting saya main mengikut rentak permainan saya sendiri dan fokus.

"Dalam masa sama, saya harap kemenangan ini boleh meningkatkan kembali keyakinan saya, apatah lagi, bukan mudah untuk menentang pemain yang lebih muda," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bekas pemain nombor satu dunia itu sebelum ini tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Denmark apabila kalah kepada HS Prannoy dari India, 17-21, 21-11, 19-21 dan di Terbuka Perancis dia kalah di tangan pemain Jepun, Kenta Nishimoto 14-21, 15-21 di pusingan pertama.

Menanti Chong Wei di pusingan kedua esok ialah pemenang antara Sourabh Verma dari India dan pemain Perancis, Brice Leverdez yang beraksi petang ini.

Bagaimanapun, hasrat melihat Chong Wei bertemu musuh tradisinya, Lin Dan di suku akhir tidak kesampaian apabila pemain tuan rumah itu kalah mengejut kepada perseorangan Indonesia, Jonatan Christie 19-21, 16-21.

Sementara itu, turut mara pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Tan Wee Kiong yang menumpaskan gandingan Denmark, Mathias Christiansen-David Daugaard 21-9, 21-10.

Mereka akan berdepan pasangan tuan rumah yang juga pilihan kelima, Liu Cheng-Zhang Nan yang mengetepikan gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-13, 21-13.

Namun, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai kurang bernasib baik apabila terkandas selepas tumpas kepada Takuro Hoki-Sayaka Hirota dari Jepun, 20-22, 21-16, 21-19.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments