KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman mengesahkan dia akan terus bersama pasukan Manual Tech KYT Kawasaki Racing untuk saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), musim depan.
Azlan yang kini sedang memburu gelaran juara keseluruhan kelas Supersports 600cc selepas kali terakhir meraihnya pada 2013 berkata, dia akan terus bersama pasukan dari Indonesia itu selepas mula menyertainya tahun ini.
Selain selesa, bekas pelumba Moto2 negara itu berkata, dia juga gembira kerana dapat mencapai objektif utamanya dalam menyalurkan pengalaman beraksi di pentas dunia bersama pasukan berkenaan.
"Kalau tidak ada apa-apa, saya akan terus bersama pasukan yang sama," kata pelumba kelahiran Klang, Selangor itu yang kini berada di kedudukan keempat kelas perlumbaan utama itu dengan pusingan kemuncak di Sirkit Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand pada 2 dan 3 Disember ini menjadi penentu gelaran.
Azlan kini ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu yang juga bekas pelumba Moto2 negara, Zaqhwan Zaidi dari pasukan MUSASHi Boon Siew Honda Racing dan hanya dibezakan enam mata daripada penghuni tangga kedua dan ketiga dari Jepun yang berkongsi 134 mata, Yuki Ito (Yamaha Racing) dan Taiga Hada (RAMA Honda by NTS T.Pro Ten 10).
Rakan sepasukan Azlan dari Indonesia, Ahmad Yudhistira pula berada di tangga kelima dengan 110 mata.
"Sekarang ini, kami sedang bersaing sengit dalam kelompok lima terbaik bagi memburu gelaran," kata pelumba berusia 33 tahun itu. "Bagi saya, ia memang sukar kerana saingan amat sengit kerana mereka ini semuanya hebat terutamanya Zaqhwan.
"Saya juga mengharapkan pengalaman di Buriram sebelum ini akan membantu saya pada perlumbaan terakhir (musim) nanti," kata juara Perlumbaan 1 dan 2 di Pusingan Kedua yang berlangsung di litar sama, April lalu.
Kali terakhir Azlan meraih gelaran dalam Kelas Supersports 600cc adalah pada tahun 2013 bersama pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing sebelum berganjak ke saingan penuh Moto2 pada 2014.
Pencapaian Azlan di pentas Asia pada 2013 turut melakar sejarah tersendiri apabila meletakkan namanya dalam senarai pelumba negara kedua yang pernah meraih gelaran dalam kelas utama itu sejak kali terakhir dimenangi Chia Tuck Cheong pada 2000 dan 2001.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments