Kelantan ikat 'Pogba Malaysia'

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan pemain yang terkenal dengan julukan 'Pogba Malaysia', S Veenod akan beraksi bersama The Red Warriors (TRW) musim depan selepas menandatangani kontrak dua tahun setengah, hari ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata kehadiran bekas tonggak Selangor berusia 29 tahun itu diyakini mampu memantapkan lagi jentera tengah TRW, selain pengalamannya diharap dapat mampu meningkatkan prestasi pemain muda pasukan.

"Ya, saya baru sahaja berjumpa Veenod bagi menurunkan tandatangan pada kontrak yang ditawarkan bersama pasukan selama dua tahun setengah.

"Keputusan ini dibuat selepas melihat prestasinya yang terkini di samping pengalaman bersama The Red Giants musim lalu. KAFA harap kehadiran Veenod mampu memperkemaskan lagi pasukan khususnya di bahagian tengah," katanya.

Pada masa sama, Bibi Ramjani turut memaklumkan tiga calon pemain import dari Brazil akan hadir menjalani sesi ujian pemilihan dan kecergasan bersama TRW.

Ditanya mengenai kuota lima pemain import yang ditetapkan pentadbir liga tempatan, Perkongsian Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP), usahawan wanita itu berkata KAFA menyambut baik ruang berkenaan dan akan berusaha melengkapkannya.

"Setakat ini, kita hanya mengekalkan (Morgaro) Gomis dan Seydi Al-Imam. Namun, kita masih belum berpuas hati dengan prestasi Imam dan akan membuat penilaian semula.

"Kita juga belum mencapai kata putus dengan Abou Bakr Al Mel (Bako) meskipun dia masih mempunyai kontrak sehingga pertengahan musim depan, jadi mungkin ada dua atau tiga lagi kekosongan dan kita akan melengkapkan kuota yang ditetapkan," katanya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments