Lawat Anwar kerana simpati

PUCHONG: Langkah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis, menziarahi Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini, atas dasar kemanusiaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, lawatan itu juga didorong rasa simpati atas musibah yang menimpa Anwar.

Katanya, menerusi bahasa badan Anwar, beliau dapat melihat pemimpin pembangkang itu menerima lawatannya dengan baik.

"Saya tidak merancang untuk melawat beliau, tetapi saya terpanggil untuk berbuat demikian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor menziarah Anwar semalam.

"Kami mengetepikan perbezaan politik atas rasa kemanusiaan. Ini yang kami cuba terjemahkan, malah bukan hari ini saja tetapi juga ketika Perdana Menteri dan saya ke Pulau Pinang (ketika banjir).

"Pada pandangan saya, ini langkah untuk merasa simpati dengan seseorang yang ditimpa musibah atas penyakit, apatah lagi Anwar telah mengalami kesakitan di bahu kanan sejak sekian lama," katanya ketika ditemui di Fiesta Actyvate di i4MU Sentral di sini, hari ini.

Petang tadi, Ahmad Zahid ditemani isteri, melawat Anwar di HKL, dan gambar lawatan itu dimuat naik di Twitter Timbalan Perdana Menteri itu.

Semalam, Najib dan Rosmah turut melawat Anwar di HKL selepas menjalani pembedahan artroskopi, susulan kecederaan di bahu kanannya.

Ahmad Zahid berkata, beliau akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Penjara bagi memastikan Anwar menerima rawatan susulan sehingga sembuh sepenuhnya.

"Kerajaan bersetuju untuk Anwar memilih sesiapa saja doktor terbaik. Keluarganya turut memohon peralatan terbaik digunakan," katanya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments