LONDON: Bekas pemain tenis nombor satu Britain, Tim Henman berpendapat Andy Murray tidak perlu melantik jurulatih baharu susulan perpisahan terbarunya bersama Ivan Lendl.
Murray mengumumkan dia berpisah dengan Lendl, kelmarin selepas pernah dua kali mendapat bimbingan jurulatih kelahiran Republik Czech itu yang membawa kepada kejayaannya meraih tiga gelaran Grand Slam dan dua pingat emas Olimpik.
Bagaimanapun, Henman yang juga sahabat karib Murray, percaya Jamie Delgado mampu menampung kekosongan itu, selepas sudah lama menjadi sebahagian daripada barisan jurulatih pemain Scotland itu.
"Dengan pengalaman dan ilmu yang dimiliki Andy, saya tidak fikir dia perlu membawa jurulatih baharu,"kata Henman kepada Radio BBC, hari ini.
"Dia mempunyai Jamie yang pernah beraksi pada satu tahap yang baik dan melakukan kerja sebagai jurulatih dengan cemerlang untuk Gilles Muller. Malah dia sudah bersama Andy untuk beberapa tahun dan sudah tentu dia memahaminya."
Henman turut memberi penghormatan kepada peranan yang dimainkan Lendl dalam melonjakkan karier Murray, selepas perkembangannya terbantut sejak bekas bintang nombor satu dunia itu tewas di suku akhir Wimbledon kepada Sam Querrey.
Tempoh buruk yang dialami Murray ketika ini menyaksikan ranking dunianya merudum ke tangga ke-16, tetapi dia kekal fokus untuk kembali beraksi di Terbuka Australia, Januari depan. - AFP
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments