FAKTOR calon berperanan penting bagi menentukan kejayaan dalam sesuatu pilihan raya itu. Oleh itu, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti, Barisan Nasional (BN) akan memastikan semua calon dipilih mempunyai ciri disukai pengundi. Dalam hal ini, mungkin lebih penting ialah elemen integriti yang perlu ada pada setiap calon BN.
Atas sebab itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini menjelaskan, semua calon BN bagi PRU-14 sedang menjalani tapisan integriti sepenuhnya bagi memastikan mereka tidak terbabit dengan sebarang salah laku, membabitkan integriti.
Setiap calon bukan sahaja perlu bersih sebarang isu yang membabitkan rasuah, penyalahgunaan kuasa, skandal atau sebarang perkara yang bercanggah dengan perundangan, tetapi juga mesti kelihatan bersih. Inilah yang dimahukan oleh pengundi hari ini.
Walaupun diberitakan yang semua negeri sudah menghantar nama calon untuk PRU-14, bagi Ahmad Zahid, tidak ada tolak ansur dalam isu pemilihan calon. Ahmad Zahid lantang menegaskan, calon tidak menepati tapisan integriti ditetapkan akan diucapkan selamat tinggal.
Sebenarnya banyak ciri yang perlu ada pada setiap calon BN. Namun, semua itu tidak membawa apa-apa makna jika soal integriti dipandang remeh.
Pastinya mereka yang dicalonkan akan menjadi liabiliti kepada BN apabila muncul pula pelbagai skandal yang boleh mencemarkan dirinya dan merosakkan peluang BN untuk memenangi kerusi yang dipertandingkan.
Ahmad Zahid pernah menyarankan calon UMNO yang berwibawa, dinamik dan memiliki kematangan akan diutamakan untuk menjadi calon UMNO pada PRU-14 nanti. Dalam hal ini, ketiga-tiga aspek itu membabitkan lima kriteria iaitu mereka yang boleh menang, disukai, berkebolehan, dipercayai dan pintar.
Calon anak tempatan
Pengalaman penulis memberi dan menghadiri ceramah ketika PRU, penulis sempat berbual dengan pekerja yang bertungkus-lumus membantu calon. Pandangan dan pendapat mereka mengenai calon yang sesuai juga perlu diambil kira.
BN juga perlu memilih calon yang tidak lupa akan jasa dan sumbangan pekerja yang tanpa mengira penat lelah, membantu mereka sepanjang kempen.
Calon yang menang akan dikenali, tetapi tidak ada siapa akan ingat pekerja yang menjadi wira tidak didendang ini.
Satu lagi isu yang timbul dalam soal pemilihan calon ialah apabila calon dipilih bukan dari kawasan setempat. Tidak salah untuk memilih calon seperti ini, tetapi adalah lebih baik jika anak tempatan yang menjadi pilihan, dikenali keluarganya oleh penduduk setempat.
Apatah lagi jika anak tempatan ini memiliki kriteria ditetapkan untuk menjadi calon. Orang kampung khasnya akan begitu bangga jika anak kampung mereka menjadi wakil rakyat yang akan membela nasib.
Biarlah memilih bakal pemimpin yang sudah biasa dengan adat budaya dan cara hidup penduduk serta tahu selok-belok dan masalah yang sering dihadapi penduduk kawasan undinya itu.
Selain memiliki pelbagai lagi -ciri diperlukan sebagai calon berwibawa dan berintegriti, setiap calon juga perlu tahu bagaimana untuk menangani permainan atau taktik pembangkang yang akan melakukan pelbagai cara menarik perhatian pengundi.
Bakal calon BN ini perlu bijak berhujah untuk menepis segala dakyah dan fitnah yang bakal dilemparkan pihak pembangkang. Pengundi hari ini akan menilai kebijaksanaan dan kehebatan calon dengan cara dia menangani isu seperti ini.
Bagi yang terpilih menjadi calon nanti, janganlah anggap diri itu sudah berada di ambang kejayaan. Sebenarnya, itu hanyalah satu permulaan untuk bekerja dengan lebih kuat lagi. Janganlah gelaran Yang Berhormat membuatkan kita menjadi lalai, bahkan sebagai calon, banyak tanggungjawab dan tugas serta amanah rakyat yang perlu dilaksanakan. Itulah yang perlu diutamakan.
Penulis adalah Pengerusi Biro Politik, Majlis Perundingan Melayu Malaysia
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments