Kuching FA naik pangkat, Sarawak ke Liga M3

PETRA JAYA: Status 'abang' ternyata tidak memberi kelebihan buat Sarawak apabila tewas 1-3 kepada Kuching FA pada penentuan 'play-off' Liga Perdana di Stadium Sarawak, malam tadi.

Dengan keputusan itu, Sarawak terjerumus ke Liga M3 musim depan, manakala Kuching FA yang hanya menyertai saingan Liga Malaysia pada 2018 sah akan bersaing pada Liga Perdana.

Penguasaan Kuching FA jelas sebaik wisel perlawanan dibunyikan dan pada minit ke-8, skuad bimbingan Ideris Untong itu berada di depan hasil jaringan Sahran Abdul Samad.

Masuk babak kedua, Sarawak mula menunjukkan kebangkitan apabila menguasai perlawanan dan berhasil menyamakan kedudukan menerusi pemain import, Hudson Dias de Jesus pada minit ke-52.

Pemain Kuching FA, Sharan Abdul Samad (tengah) diasak pemain Sarawak pada perlawanan Playoff Liga Perdana 2020 di Stadium Negeri, Kuching. - Foto Hazreen Mohamad

Namun Kuching FA yang masih segar dengan kejayaan menduduki tangga kedua Liga M3 di belakang Kelantan United tidak berputus asa dan terus mengasak kubu lawan.

Hasilnya pada minit ke-76, Stadium Sarawak bergema dengan sorakan penyokong skuad Kuching FA apabila Mohammad Hafis Saperi meletakkan pasukannya di hadapan dengan jaringan 2-1.

Kealpaan barisan pertahanan Sarawak terus dihukum apabila bekas pemain Sarawak dan kebangsaan, Joseph Kallang Tie mengesahkan kemenangan Kuching FA dengan gol hasil larian solonya pada minit ke-85, sekali gus memberi kemenangan 3-1 untuk pasukannya.

Pemain Kuching FA, Joseph Kalang Tie (tengah) diasak pemain Sarawak pada perlawanan Playoff Liga Perdana 2020 di Stadium Negeri, Kuching. - Foto Hazreen Mohamad



Sumber : Kuching FA naik pangkat, Sarawak ke Liga M3

Post a Comment

0 Comments