Warga HKL panik, penghawa dingin terbakar

KUALA LUMPUR: Kakitangan dan pesakit Hospital Kuala Lumpur (HKL) panik seketika apabila pendingin hawa di bilik Jabatan X-Ray hospital berkenaan terbakar, hari ini.

Pasukan Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 7.55 malam.

Komander Operasi, Armdan Mahat, berkata 10 jentera bersama 50 anggota penyelamat dikejarkan ke lokasi sebaik menerima maklumat berkenaan.

Antara Balai Bomba yang terbabit adalah dari Titiwangsa, Sentul, Jalan Tun Razak dan Hang Tuah.

“Sebaik tiba di lokasi kami mendapati kebakaran berlaku di Jabatan X-Ray HKL.

“Kebakaran membabitkan pendingin hawa yang terbakar hampir 20 peratus namun ia dapat dipadamkan oleh anggota menggunakan alat pemadam api,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Armdan berkata, tiada mangsa dilaporkan tercedera dalam kejadian itu dan unit forensik sedang menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kejadian.



Sumber : Warga HKL panik, penghawa dingin terbakar

Post a Comment

0 Comments