Mourinho mula langkah kanan

LONDON: Son Heung-Min, Lucas Moura dan Harry Kane memastikan Jose Mourinho memulakan kariernya di Tottenham dengan kemenangan selepas menewaskan West Ham 3-2 di Stadium London, malam tadi.

Mourinho yang kembali ke Liga Perdana bagi menggantikan Mauricio Pochettino yang dipecat, minggu ini begitupun terpaksa berpeluh apabila tuan rumah mencipta kebangkitan lewat sekali pun pelawat mendahului permainan 3-0 selepas 50 minit permainan berlangsung.

Penyerang Korea Selatan, Son membuka tirai jaringan pelawat pada minit ke-36 berpunca gerakan Dele Alli sebelum Moura menggandakan kelebihan pada minit ke-43.

Pelawat tambah bersemangat apabila penyerang England, Kane menambah kelebihan empat minit memasuki babak kedua apabila menyumbat gol menerusi tandukan berpunca umpanan Serge Aurier.

Begitupun, tuan rumah berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Michail Antonio pada minit ke-73 dan meledak gol kedua menerusi Angelo Ogbonna pada masa kecederaan tetapi terlambat untuk menghalang Spurs meraih tiga mata penuh.

Kali terakhir Tottenham meraih kemenangan dalam saingan Liga Perdana adalah pada 28 September lalu dengan menewaskan Southampton 2-1. 

Kemenangan turut menyaksikan Spurs mendaki ke tangga keenam liga mengatasi Arsenal buat sementara waktu. - Agensi



Sumber : Mourinho mula langkah kanan

Post a Comment

0 Comments