Pekerja parah ditikam rakan sekerja Selasa lalu, meninggal dunia

Oleh Nur Izzati Mohamad

[email protected]

GEORGETOWN: Seorang pekerja syarikat penghantaran yang parah ditikam rakan sekerja di Balik Pulau pada Selasa lalu, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang di sini, hari ini.

Aidil Asran Omar, 24, meninggal dunia jam 11.15 pagi selepas empat hari bertarung nyawa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain, berkata mangsa tidak sedarkan diri akibat kecederaan di rusuk kiri, dada dan tangan.

“Mangsa yang kritikal, menjalani pembedahan usus namun doktor memaklumkan keadaannya masih kritikal serta dipantau doktor pakar sebelum kami dimaklumkan dia meninggal dunia hari ini," katanya.

Beliau berkata, berikutan kematian mangsa, polis akan memohon sambungan reman terhadap suspek berusia 27 tahun.

Sebelum ini, suspek direman lima hari.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, Aidil Asran cedera parah di rusuk kiri, dada dan tangan selepas ditikam rakan sekerjanya yang juga ketuanya.

Siasatan awal mendapati suspek sangat marah dan berang kerana ada di antara pekerja kumpulan itu termasuk mangsa tidak menepati masa ketika menjalankan tugas dan sebelum ini suspek telah beberapa kali menegur mereka.

Lelaki itu juga dikatakan memang berdendam dengan mangsa dan beberapa lagi pekerja di situ kerana terpaksa menjalankan kerja sendirian ketika lori tiba untuk mengambil barangan penghantaran.

Semakan polis pula mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau iaitu dua berkaitan dadah dan satu jenayah, manakala mangsa turut mempunyai satu rekod dadah.



Sumber : Pekerja parah ditikam rakan sekerja Selasa lalu, meninggal dunia

Post a Comment

0 Comments