Suami isteri rentung dalam kebakaran

IPOH: “Saya terdengar bunyi letupan beberapa kali yang menggegarkan rumah dan terkejut melihat api sedang marak di kediaman tingkat bawah,” kata jiran kepada sepasang suami isteri yang rentung dalam kebakaran rumah mereka di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, Kamal Mustafa yang juga warga Mesir dan isterinya, Kamariah Talib, masing-masing berusia 70-an ditemui rentung di ruang tamu dan di hadapan bilik air apartmen mereka di Taman Meru Impiana.

“Disebabkan bimbang api merebak, saya berlari meminta pertolongan penduduk lain sebelum kami menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan,” kata lelaki berkenaan.

Menurutnya, Kamal dan isterinya penduduk tempatan, dipercayai tinggal berdua sahaja di rumah itu, manakala anak mereka sudah berumah tangga dan tinggal berasingan.

“Mangsa wanita itu memang dikenali dengan sikap peramah dan baik kerana banyak sertai aktiviti diadakan persatuan penduduk di sini. Kami tidak tahu apa masalah sehingga berlaku kejadian ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Difahamkan, bedah siasat jenazah kedua-dua mangsa dijangka dijalankan esok di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, bagi mengetahui punca sebenar kematian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika ditemui di lokasi kejadian, berkata polis masih menjalankan siasatan dari segenap aspek dan klasifikasi kes akan dibuat selepas selesai bedah siasat di HRPB.

Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan awal berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mendapati mangsa lelaki ada keluar dari apartmen itu dengan menaiki kereta Proton Suprima dan kemudian masuk semula ke dalam rumah sambil membawa dua tong dipercayai berisi bahan bakar.

“Rumah mangsa adalah dua unit yang dijadikan satu unit. Siasatan di dalam rumah menemui dua tong gas yang sepatutnya berada di dapur, tetapi ditemui di ruang tamu. Kereta mangsa pula ditemui hangus kira-kira 500 meter dari apartmen berkenaan,” katanya.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak, Mohd Khairul Jamil, berkata bomba menerima panggilan jam 3.40 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru yang berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya jam 6.55 pagi, namun punca dan kerugian masih dalam siasatan.



Sumber : Suami isteri rentung dalam kebakaran

Post a Comment

0 Comments