Akibat Kesempitan Hidup, Bekas Atlet Negara Terpaksa Tinggal di Surau Lama Dgn Isteri Dan Empat Anak

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Hanya itu yang mampu digambarkan apabila mengenang nasib seorang atlet boling padang yang pernah mewakili negara kini hidup dalam serba dhaif.

Mohd Zeiani Mohd Diah, 41, pernah mewakili negara di Kejohanan Asia Paralimpik 2019 di Bukit Tiara, Kuala Lumpur kini menyewa surau lama di Taman Seremban Jaya, Seremban, bersama isteri dan empat anak akibat kesempitan hidup.

Mohd Zeiani tinggal di surau berkenaan bersama isteri, Nurizan Muhamad Ansar, 39, dan anak, Muhammad Shariff Hidayatullah, 12, Putri Syifa Alia, 10, Rabiayatul Adawiyah, 4, serta Nursyawalina Umairah yang berusia dua tahun.

Mereka diberi kebenaran menyewa surau berkenaan atas ihsan pengerusi surau serta penduduk taman perumahan berkenaan.

” Sebelum ini kami menyewa rumah teres di sekitar taman perumahan ini namun apabila kadar sewanya dinaikkan, kami tidak mampu membayarnya sebelum diberi kebenaran menyewa surau ini sejak 15 Mac lalu.

” Syukur kerana pengerusi surau ini, Zainal Abidin Mat Kasi, membenarkan kami menyewanya pada kadar RM200 sebulan,” katanya yang juga guru agama di Sekolah Kebangsaan Sega, Rantau.

Menurut Mohd Zeiani, keadaan surau daif kerana sudah lama tidak digunakan sebelum penduduk bergotong-royong membersih dan membaikinya.

” Kami berterima kasih kepada penduduk taman perumahan ini yang banyak membantu menjadikan keadaan surau ini lebih selesa.

Ambil upah jadi guru agama, mengurut

” Selain guru agama, saya juga melakukan pekerjaan lain seperti mengurut dan menyediakan khidmat bekam untuk menambah pendapatan,” katanya yang menghadapi masalah penglihatan sejak kecil.

Mohd Zeiani berkata, dia aktif dalam sukan boling padang sejak lima tahun lalu dan sering mewakili Negeri Sembilan sebelum terpilih mewakili negara tahun lalu.

” Peralatan berkaitan boling padang seperti bola serta kasut mahal, saya akan meminjamnya daripada rakan setiap kali ada pertandingan kerana tidak mampu menyediakannya.

” Saya memang tidak mampu untuk membelinya kerana harga kasut khas untuk sukan ini sahaja hampir RM500 sepasang manakala bola pula mencecah RM2,000 untuk satu set,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan Norfadilah Mansor berkata, pihaknya membantu dengan memberikan sumbangan barangan makanan harian bagi meringankan beban keluarga ini.

” Kami akan berusaha untuk terus membantu keluarga ini dari masa ke semasa,” katanya.




via 1 MIN READ

Post a Comment

0 Comments