Tak wajib bayar gaji penuh

KUALA LUMPUR: Saingan Liga Malaysia (Liga M) tampak memberi petanda positif untuk bermula lebih awal selepas pasukan dibenarkan menjalani latihan bermula minggu hadapan.

Justeru, perkembangan ini menimbulkan sedikit persoalan mengenai pemotongan gaji yang dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini selepas pandemik COVID-19 menyebabkan pasukan bergelut dengan situasi kewangan ini.

Ketika latihan kembali dilangsungkan lebih awal, pemain kini mengintai sekiranya mereka boleh mendapat gaji penuh untuk bulan ini memandangkan mereka sudah kembali 'bekerja' selepas berehat lebih dua bulan.

Mengulas mengenai isu terbabit, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan pasukan perlu merujuk semula garis panduan mengenai pemotongan gaji yang dikeluarkan badan induk itu selain perjanjian pemotongan gaji yang dipersetujui dengan pemain.

Bagaimanapun, Stuart menyatakan terserah kepada mana mana pasukan yang berhasrat untuk kembali membayar gaji penuh kepada pemain mereka selepas pasukan kembali berlatih mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Berdasarkan garis panduan sebelum ini, gaji penuh adalah bergantung kepada tarikh saingan dimulakan. Ia perlu dibayar penuh selepas 30 hari saingan Liga M diteruskan.

"Sebagai contoh, jika saingan disambung semula pada Julai, gaji bulan itu masih dipotong dan gaji penuh hanya akan bermula untuk gaji bulan Ogos. Jika saingan bersambung pada Ogos 2020, maka gaji penuh hanya akan bermula pada gaji September 2020.

"Namun, kalau ada pasukan yang mahu membayar gaji penuh semula, terpulanglah kepada mereka untuk mencapai persetujuan dengan pemain masing-masing," katanya.

Dalam perkembangan lain, Stuart mengesahkan pihaknya sedia membantu sekiranya penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin memerlukan bantuan berhubung keputusannya untuk 'terbang' ke Belgium.

"Kita belum dapat apa-apa permohonan daripada Luqman mengenai perkara kerana ini berada di bawah bidang kuasa Majlis Sukan Negara (MSN) dan dia juga ada ejennya sendiri.

"Tetapi sebagai badan induk, kita sedia menghulurkan bantuan yang diperlukan kepada Luqman kalau dia memerlukan bantuan," katanya.



Sumber : Tak wajib bayar gaji penuh

Post a Comment

0 Comments