COVID-19: 40 kontak tukang gunting Pakistan disaring, jalani kuarantin

PUTRAJAYA: Seramai 40 kontak rapat kepada seorang tukang gunting rambut warga Pakistan yang disahkan positif COVID-19, sudah menjalani saringan dan diarahkan kuarantin di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kontak rapat terbabit dikesan melalui panggilan telefon yang dibuat membabitkan empat rakan serumahnya serta pelanggan yang menggunakan khidmat gunting rambut.

Beliau berkata, majikannya tidak membuka premis sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, namun pekerja terbabit terus menyediakan khidmat dari rumah ke rumah atas permintaan pelanggan.

"Pada 11 Jun, Pejabat Kesihatan Titiwangsa menerima satu notifikasi COVID-19 daripada sebuah hospital swasta, membabitkan lelaki warga Pakistan bekerja di sebuah kedai gunting rambut di Kuala Lumpur.

"Hasil siasatan awal mendapati kedai gunting itu tidak beroperasi sejak bermulanya PKP pada 18 Mac lalu. Namun, lelaki itu terus memberi khidmat menggunting rambut dari rumah ke rumah atas permintaan pelanggan di kawasan sekitar.

"Ada seramai 25 kontak rapat yang dikenal pasti setakat ini melalui rekod panggilan telefon iaitu 4 orang rakan serumah dan 21 orang pelanggan," katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, kedai gunting rambut itu mula beroperasi pada 10 Jun dan majikan membawa pekerja menjalani saringan COVID19.

Katanya, seramai 15 orang kontak rapat telah mendapatkan khidmat menggunting rambut daripada pekerja terbabit sehingga semalam.

"Dengan itu, jumlah kontak rapat yang dikenal pasti adalah seramai 40 orang. Mereka sudah disaring dan diarah kuarantin di rumah.

"Warga Pakistan itu pula sudah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Punca jangkitan belum dikenal pasti dan siasatan masih diteruskan," katanya.



Sumber : COVID-19: 40 kontak tukang gunting Pakistan disaring, jalani kuarantin

Post a Comment

0 Comments