
KUALA LUMPUR: Malaysia mesti menangani penularan COVID-19 dengan tindakan dalam negara membabitkan ekonomi, sosial dan pendidikan sepanjang fasa pemulihan, sebelum membuka sempadan kepada pengunjung dari luar.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertimbangan untuk membuka pintu sempadan termasuk membabitkan pelancongan hanya boleh dilaksanakan jika jumlah kes COVID-19 di negara ini kekal kepada satu angka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jika perkara itu berjaya dicapai, cadangan supaya pintu sempadan dibuka kepada pelancong dari negara 'green bubble' iaitu negara zon hijau boleh dibincangkan di antara dua negara.
"Kalau negara itu dari 'green bubble' mungkin kita akan pertimbangkan. Tetapi kena melihat kepada SOP (prosedur operasi standard) antara dua negara. Kalau ia boleh dipersetujui bersama, mungkin boleh dilaksanakan. Namun, harus melalui perbincangan dengan negara tertentu.
"Kita boleh mengetengahkan konsep 'green bubble' dengan merentas dua negara dari negara terpilih sahaja dan ia mempunyai kriteria tertentu," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Sumber : COVID-19: Biar negara tangani penularan tempatan dulu
0 Comments