COVID-19: Sedia cadang peralatan pematuhan SOP sebagai barang terkawal

KUALA LUMPUR: Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersedia mencadangkan kepada kerajaan untuk menyenaraikan peralatan penting untuk pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung COVID-19 sebagai barangan harga terkawal.

Pengarahnya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata antara barangan itu ialah pelitup dan pelindung muka; apron serta sarung tangan pakai buang dan cecair pensanitasi tangan.

"Bagaimanapun, kajian menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu, selain keputusannya akan dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi nanti.

"Ada rasionalnya juga untuk kawal harga barangan berkenaan memandangkan vaksin COVID-19 masih belum ditemui sehingga kini," katanya kepada BH, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Iskandar Halim memaklumkan, pihaknya dijangka mengadakan pertemuan bersama Gabungan Pendandan Rambut Malaysia, esok.

Katanya, ia bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan caj tambahan akan dikenakan kepada pelanggan susulan peningkatan kos operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi perkhidmatan itu.

"Kita mahu mengadakan perbincangan ini secepat mungkin bagi menyelesaikan isu caj tambahan akan dikenakan kepada pelanggan perkhidmatan ini dan hasil pertemuan berkenaan akan dimaklumkan Nanta Linggi kelak.

"Pertemuan ini akan membincangkan beberapa dasar berkaitan dan ia masih belum boleh didedahkan kepada umum," katanya.

Sabtu lalu, caj gunting dan dandanan rambut dilapor akan dinaikkan antara RM5 hingga RM10 bagi setiap pelanggan susulan peningkatan kos operasi pematuhan SOP terhadap perkhidmatan itu.

Caj itu dipersetujui tujuh persatuan gunting rambut yang menyertai Gabungan Pendandan Rambut Malaysia pada mesyuarat diadakan baru-baru ini.

Tujuh persatuan itu ialah Persatuan Pendandan Malaysian (MHA); Persatuan Pendandan Bumiputera (BUHA); Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera (MBBA); Persatuan Pembangunan Kemahiran Dandanan Rambut (HSDA); Persatuan Pemerkasaan Jurugaya Rambut India Malaysia (MIHASS); Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia (MINDAS) dan Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor Wilayah Persekutuan (PJRISWP).



Sumber : COVID-19: Sedia cadang peralatan pematuhan SOP sebagai barang terkawal

Post a Comment

0 Comments