Dua lelaki Rohingya curi besi ditahan

JOHOR BAHRU: Dua lelaki warga Rohingya ditahan berasingan kerana terbabit dalam jenayah curi besi sekitar Larkin, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, berkata lelaki berusia 33 tahun ditahan bersama sebuah lori yang membawa muatan besi pelbagai jenis seberat 200 kilogram.

Katanya, lelaki Rohingya itu ditahan hasil rondaan cawangan kereta peronda Ibu Pejabat Daerah (IPD) JBS jam 3.30 petang kelmarin, manakala lelaki kedua berusia 30-an pula ditahan jam 8 malam hari yang sama.

"Selepas menerima aduan awam, semasa rondaan di sekitar lokasi Polis menjumpai suspek lelaki Rohingya berumur 33 tahun serta barang rampasan iaitu batang besi pelbagai jenis yang dianggarkan berat lebih kurang 200 kilogram serta merampas sebuah lori yang dipandu suspek semasa kejadian.

"Hasil soal siasat awal suspek mengaku ke lokasi kejadian untuk melakukan jenayah curi besi bersama seorang lagi rakannya juga berbangsa Rohingya, namun suspek sempat melarikan diri sebelum ketibaan pihak polis di lokasi kejadian tetapi dapat ditahan beberapa jam kemudian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan 448 Kanun Keseksaan (KK) dan jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 379 boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut Seksyen 448, Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara boleh sampai 3 tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.



Sumber : Dua lelaki Rohingya curi besi ditahan

Post a Comment

0 Comments