Tiada perubahan dasar penetapan harga petrol, diesel

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan tiada perubahan dasar penetapan harga jualan runcit petrol dan diesel.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata penetapan harga runcit petrol dan diesel dibuat melalui 'Automatic Pricing Mechanism' (APM) yang dipengaruhi harga minyak diproses selari dengan harga minyak mentah dunia.

"Sejak 30 Mac 2017, harga jualan runcit petrol dan diesel ditetapkan secara mingguan dan dikuatkuasakan oleh KPDNHEP melalui warta di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Runcit Maksimum bagi Petrol dan Diesel).

"Tujuan pewartaan adalah untuk menguatkuasakan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel oleh syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak agar tidak melebihi harga yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexander berkata, bagaimanapun bermula 29 Februari lalu, KPDNHEP menukar mekanisme penguatkuasaan kawalan harga jualan runcit petrol dan diesel melalui Surat Arahan Pengawal Bekalan di bawah Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, perubahan mekanisme itu bertujuan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan pemantauan di peringkat KPDNHEP sekiranya terdapat sebarang pelanggaran arahan di bawah akta yang berkuat kuasa.

"Dalam menjamin kepentingan pengguna, KPDNHEP komited memastikan pematuhan semua syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak terhadap harga yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.

"Mengambil kira trend semasa harga minyak mentah dunia, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," katanya.



Sumber : Tiada perubahan dasar penetapan harga petrol, diesel

Post a Comment

0 Comments