FAM bincang SOP 33 muka surat

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengadakan perbincangan dalaman bagi meneliti dan memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) latihan pasca COVID-19 serta perancangan kem latihan pusat skuad kebangsaan dan skuad B-19.

Menurut FAM, perbincangan itu bagi memastikan SOP setebal 33 muka surat yang memuatkan garis panduan bagi latihan pasukan kebangsaan yang disediakan badan induk berkenaan dapat dilaksanakan sepenuhnya pada kem latihan pusat kedua-dua pasukan itu nanti.

Mesyuarat yang dipengerusikan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam itu membabitkan ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dan ketua jurulatih B-19, Brad Maloney secara dalam talian.

"FAM akan memastikan setiap SOP berkenaan dapat disesuaikan dengan program latihan yang sudah dirancang Cheng Hoe dan Maloney supaya ia dapat dipatuhi sepanjang kem latihan bagi menjamin kesihatan dan keselamatan semua pemain serta pegawai terbabit," kata FAM di Facebook mereka, hari ini.

Mesyuarat itu turut disertai Ketua Unit Sains Sukan FAM, Sivanasvaran Suppiah; Ketua Unit Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM, Azfendy Azzuddin serta jurulatih kecergasan kedua-dua pasukan berkenaan, Martin Stano dan Reuben Jude Balraj.



Sumber : FAM bincang SOP 33 muka surat

Post a Comment

0 Comments