PUTRAJAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran menggunakan pendekatan kuarantin sekiranya mahu memulakan latihan penuh buat skuad Harimau Malaya dan bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata pendekatan itu digunakan oleh kem latihan pusat Road To Tokyo (RTT) yang memulakan latihan penuh di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara dan Langkawi sejak 1 Jun lalu.
"Kalau mereka (FAM) mahu mulakan latihan tanpa sentuhan, mereka boleh mulakan serta-merta. Namun, untuk latihan penuh, mereka mungkin boleh laksanakan pendekatan yang digunakan program RTT.
"Untuk menjalani latihan penuh termasuk sentuhan fizikal, keselamatan atlet perlu diberi keutamaan. Sebab itu, kita menggunakan pendekatan kuarantin bagi program RTT bagi menjamin bahawa ketika melaksanakan latihan, keselamatan mereka terjaga.
"Sekiranya skuad kebangsaan mahu menggunakan pendekatan seperti itu, mungkin saya boleh pertimbangkan untuk membawa perkara berkenaan kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) selagi mana kita mendapat SOP (prosedur operasi standard) yang sama dengan RTT," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.
Berdasarkan SOP pendekatan kuarantin yang digunakan, semua yang terbabit dengan program latihan pusat RTT tidak dibenarkan keluar atau bertemu dengan orang luar sepanjang tempoh sebulan latihan.
Skuad Harimau Malaya perlu melakukan persiapan bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang menyaksikan Malaysia akan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober sebelum bertemu Vietnam di laman sendiri lima hari selepas itu.
Skuad B-19 pula akan menghadapi Kejohanan AFC di Uzbekistan pada Oktober depan.
Terdahulu, Reezal Merican mengumumkan semua pasukan dan kelab Liga Malaysia (Liga M) dibenarkan untuk kembali menjalani latihan tanpa sentuhan dalam tempoh PKPP bermula 15 Jun ini dan
kelonggaran itu juga termasuk buat skuad bola sepak kebangsaan dan skuad B-19 kebangsaan.
Beliau, berkata setakat ini FAM masih belum mengemukakan sebarang permohonan secara rasmi bagi memulakan latihan secara penuh buat skuad kebangsaan dan skuad B-19.
"Sebelum ini, mereka datang berkaitan dengan permohonan memulakan latihan. Namun, dalam soal latihan penuh untuk skuad kebangsaan dan B-19, belum dikemukakan secara rasmi lagi kepada saya.
"Saya yakin kalau ikut SOP dan kaedah yang digunakan RTT, saya rasa tiada rintangan untuk MKN memberi kelulusan," katanya.

Sumber : FAM boleh tiru pendekatan kuarantin Road To Tokyo
0 Comments