
PUTRAJAYA: Kerajaan negeri perlu akur dan mengikut peraturan ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila ia diwartakan nanti.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ini berikutan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) hanya ada pada peringkat Persekutuan, kecuali Sarawak yang mempunyai akta sendiri.
"Peraturan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan terbatal apabila PKPP diwartakan. Maka, peraturan lama akan terbatal dengan sendirinya kerana ada peraturan baharu.
"Saya ingin memaklumkan bahawa Akta 342 hanya ada pada peringkat Persekutuan, kecuali Sarawak tetapi negeri lain tiada.
"Oleh itu, rujukan untuk negeri lain hanya satu, iaitu Akta 342," katanya pada sidang media harian PKPB, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang mahu meneliti keputusan dan ketetapan berhubung PKPP pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Khas Negeri, Rabu ini.
Kon Yeow dilaporkan berkata, pihaknya akan membincangkan dan meneliti PKPP sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut demi kesejahteraan rakyat negeri itu.
Menjelaskan lanjut, Ismail Sabri berkata, kerajaan negeri tidak boleh membuat peraturan lain kerana Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa mana-mana akta atau peraturan negeri bertentangan dengan Persekutuan adalah terbatal dengan sendiri dan tidak boleh dilaksanakan.
"Justeru, tidak ada pilihan. Apabila kerajaan mengumumkan PKPP dengan peraturan yang akan diwartakan nanti, negeri perlu akur. Jika tidak, mereka tidak boleh melaksanakan penguatkuasaan kerana tiada akta lain.
"Sebagai contoh, jika Pulau Pinang tidak mahu melakukan penguatkuasaan, pegawai pada peringkat Persekutuan seperti polis dan sebagainya boleh mengambil tindakan jika berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP)," katanya.
Sumber : Kerajaan negeri perlu akur PKPP apabila diwartakan
0 Comments