Kerajaan gagal lucut hak RM100,000 dari akaun Yayasan PBAKM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Kerajaan Malaysia untuk melucut hak wang RM100,000 didakwa diterima Yayasan Persatuan Bekas Anggota KEMAS Malaysia (PBAKM) daripada Datuk Seri Najib Razak, yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati Pendakwa Raya selaku pemohon, gagal membuktikan wang terbabit, sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya diterima PBAKM daripada Najib, lapan tahun lalu.

Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata, pemohon juga gagal menunjukkan bahagian mana daripada wang terbabit adalah daripada Najib dan bahagian mana daripada sumber lain.

Katanya, Najib mengeluarkan cek bertarikh 19 Oktober 2013 berjumlah RM100,000 kepada PBAKM dan cek itu dimasukkan ke dalam akaun responden (PBAKM) pada 22 Oktober tahun sama.

Beliau berkata, penyata akaun bank responden juga menunjukkan sejak pembayaran cek daripada Najib, terdapat banyak transaksi wang keluar masuk ke dalam akaun bank mereka dan baki terendah dalam akaun bank responden adalah RM1,512.46 pada 31 Mac 2016.

Selepas itu, katanya, terdapat beberapa transaksi wang masuk dan keluar dari akaun bank PBAKM di mana baki terkini setakat 13 Mei 2019 adalah berjumlah RM805,751.13.

"Adalah jelas wang berjumlah RM100,000 dan baki terkini dalam akaun bank responden mengandungi wang yang bercampur, iaitu wang daripada Datuk Seri Najib dan wang daripada sumber yang lain," katanya.

Muhammad Jamil berkata, PBAKM dalam afidavit jawapannya tidak pernah menafikan fakta bahawa mereka menerima wang itu daripada Najib, namun menafikan ia hasil daripada aktiviti haram.

Yayasan PBAKM adalah antara 41 responden dinamakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam permohonan melucut hak mengikut Seksyen 56 Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 bagi tujuan mendapatkan semula wang yang didakwa disalah guna.

Pada 21 Jun 2019, Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya dilaporkan berkata, permohonan yang difailkan itu adalah bagi mendapatkan semula wang berjumlah lebih RM270 juta.



Sumber : Kerajaan gagal lucut hak RM100,000 dari akaun Yayasan PBAKM

Post a Comment

0 Comments