Macam Nak Balik Beraya. Baru Hari Pertama Rentas Negeri Dibuka, Kelantan Sesak Dibanjiri Perantau

” Kami rasa macam tak percaya dapat pulang ke kampung dan awal pagi lagi kami sudah bertolak dari Mersing, Johor.”

Demikian luahan engguna jalan raya, Siti Amirah Abdul Rahman, 33 sebaik mendengar pengumuman kebenaran rentas negeri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Amirah mengakui dia menangis gembira kerana sudah lama memendam kerinduan terhadap ibu dan keluarga mentua yang berada di Kelantan.

Katanya, kali terakhir dia pulang ke kampung pada Januari lalu dan teruja pulang bersama tiga anak dan suami, Mohd Bakhtiar Ismail, 33, yang juga barisan hadapan bertugas sepanjang negara dilanda Covid-19.

” Anak paling teruja nak jumpa Tok Abah,Tok Ma dan Opah mereka selain seronok akhirnya dapat jalan jauh kerana sebelum ini hanya terperap dalam rumah,” katanya.

Beliau yang juga pensyarah di Politeknik Mersing dan suami, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran atau Inspektor Kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah Mersing tetap mengamalkan normal baru

Mereka turut menjaga langkah keselamatan sepanjang perjalanan, meskipun teruja pulang seperti tidak singgah di banyak tempat dan mengamalkan penggunaan pensanitasi tangan.

Kelantan sesak sudah dijangka

Dalam pada itu, seperti dijangka, sebaik pengumuman kebenaran merentas negeri dilakukan, Kelantan mulai sesak dengan kepulangan perantau dari serata negeri.

Seawal 8 pagi, laluan sempadan Terengganu-Kelantan di depan Balai Polis Bukit Yong, Pasir Puteh, dipenuhi pelbagai jenis kenderaan dari Johor, Pahang dan Terengganu.

Tinjauan mendapati lebih 500 kenderaan melalui kawasan berkenaan hanya dalam tempoh empat jam bermula 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Turut mengambil peluang, orang ramai dari Perak, Kedah dan Pulau Pinang yang melalui kawasan berkenaan untuk ke destinasi masing-masing.

Azizol Abdullah, 35, berkata Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan aktiviti rentas negeri membolehkan dia pulang ke kampung halaman selepas terkandas ketika melakukan perjalanan ke Pahang.

Katanya, hari ini dia dapat kembali ke kampung dan melakukan tugasan harian seperti biasa.

” Apapun, kita perlu mengikut arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana negara belum pulih Covid-19 sepenuhnya, sama-sama kita jaga kita,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri berkata, sekatan jalan raya (SJR) dilakukan bagi melancarkan aktiviti keluar masuk kenderaan ke Kelantan.

Katanya, selain itu tumpuan turut diberikan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (Pati) dan penyeludupan barangan terlarang seperti dadah.

” Kita periksa setiap kenderaan berat seperti lori dan bas bagi memastikan aktiviti salah tidak terlepas daripada sekatan rentas negeri kerana mungkin pihak tertentu ambil kesempatan dengan kebenaran diberikan kerajaan.

” Bagaimanapun, setakat ini perjalanan lancar dan tiada saman dikeluarkan kerana pengguna jalan raya mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.




via 1 MIN READ

Post a Comment

0 Comments