Mat Tarzan tanam pokok ganja ditahan

ALOR SETAR: Tindakan berani seorang lelaki menanam pokok ganja di hadapan rumahnya di kawasan Jalan Datuk Kumbar, di sini mengundang padah apabila dia ditahan polis hari ini.

Dalam serbuan jam 10.30 pagi itu, lelaki berusia 30-an yang dikenali sebagai Mat Tarzan itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh, berkata lelaki itu ditahan di rumahnya hasil maklumat dan risikan anggotanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui empat pokok ganja yang ditanam di hadapan rumah berkenaan.

"Kesemua pokok ganja itu dirampas untuk siasatan lanjut.

"Hasil soal siasat juga mendapati suspek mengaku menggunakan pokok ganja itu untuk kegunaan sendiri," katanya ketika ditemui di IPD Kota Setar, di sini hari ini.

 Inspektor R Prabakaran menunjukkan pokok ganja yang dirampas di hadapan rumah seorang lelaki di Jalan Datuk Kumbar. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Inspektor R Prabakaran menunjukkan pokok ganja yang dirampas di hadapan rumah seorang lelaki di Jalan Datuk Kumbar. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli

Mohd Redzuan berkata, hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai satu rekod kes lampau.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing juga mendapati dia positif ganja.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana menanam pokok ganja dan Seksyen 15(1)ADB 1952.

"Kita sedang menyiasat lebih lanjut berhubung rampasan dan tangkapan ini," katanya.

Mohd Redzuan berkata, suspek dan pokok ganja itu dibawa ke IPD Kota Setar untuk siasatan lanjut.



Sumber : Mat Tarzan tanam pokok ganja ditahan

Post a Comment

0 Comments