Masjid, surau di Johor kembali meriah

JOHOR BAHRU: Selepas lebih tiga bulan, masjid dan surau Jumaat di negeri ini ditutup sepenuhnya sebelum dihadkan kepada 12 ahli kariah, hari ini ia kembali meriah dengan kehadiran 40 orang awam.

Tinjauan di Masjid Daing Abdul Rahman, Nusa Idaman, di sini, mendapati jemaah hadir ke masjid seawal jam 12 tengah hari bagi menunaikan solat Jumaat.

Hampir kesemua jemaah yang hadir dilihat turut membawa sejadah masing-masing, menjalani saringan suhu badan dan mendaftar masuk sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

Seorang jemaah, Rahim Abd Muin, 32, bersyukur kerana diberikan rezeki untuk menunaikan solat Jumaat selepas hampir tiga bulan tidak berbuat demikian.

"Perasan bercampur baur antara sebak, gembira dan bersyukur kerana menjadi jemaah terawal dibenarkan menunaikan Solat Jumaat semula.

"Di Johor, hanya 40 jemaah dibenarkan menunaikan Solat Jumaat bermula hari ini dan minggu hadapan jemaah lain pula yang mendapat peluang, sehinggalah nanti kebenaran kapasiti penuh diberikan, Insya Allah," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat.

Rabu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi, dilaporkan berkata, kerajaan Johor membenarkan masjid dan surau Jumaat di negeri ini untuk mengadakan solat Jumaat terhad kepada 40 jemaah berkuatkuasa hari ini.

Sebanyak 836 masjid dan 92 surau Jumaat di Johor dibenarkan mengadakan solat Jumaat hari ini namun terhad kepada hanya 40 jemaah tidak termasuk pegawai masjid dan surau Jumaat.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Daing Abdul Rahman Prof Madya Mustafa Yusof bersyukur kerana pembukaan semula masjid untuk solat Jumaat kepada orang awam hari ini berjalan lancar.

"Selain menjemput ahli kariah, kami juga menggunakan kaedah orang awam yang hadir terdahulu juga turut diberi peluang bersolat Jumaat.

"Namun prosedur standard operasi (SOP)ketat dilaksanakan termasuk perlu membawa sejadah sendiri,berwuduk dari rumah selain membuat saringan suhu badan sebelum dibenarkan masuk, " katanya.



Sumber : Masjid, surau di Johor kembali meriah

Post a Comment

0 Comments