PKPP: Waktu operasi semua premis makanan di Pahang dilanjut 10 malam

KUANTAN: Kerajaan Pahang membenarkan semua premis perniagaan terutama restoran dan medan selera di negeri itu beroperasi bermula 7 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata penambahan 30 minit waktu beroperasi itu selepas menerima maklum balas berbanding 7 pagi hingga 9.30 malam seperti yang diumumkan, semalam.

Katanya, kerajaan negeri mengambil perhatian serius maklum balas yang diterima terutama di kalangan peniaga kedai makan.

"Setelah perbincangan lanjut bersama Setiausaha Kerajaan Pahang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri, kita bersetuju waktu beroperasi dilanjutkan dari 7 pagi hingga 10 malam.

"Sukacita saya umumkan tempoh operasi semua premis dan aktiviti perniagaan kini bermula 7 pagi hingga 10 malam kecuali bagi sektor yang dibenarkan (perkhidmatan penting) mengikut kelulusan lesen perniagaan asal seperti stesen minyak, kilang dan klinik.," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Bagaimanapun, Wan Rosdy berkata, semakan akan dibuat dari masa ke semasa berpandukan tahap ancaman wabak pandemik COVID-19 di Pahang.

Katanya, aspek kepatuhan terhadap garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan diutamakan.

"Saya juga berharap, kita tidak hilang fokus sebaliknya terus memberi tumpuan dalam menjayakan langkah bagi membendung wabak pandemik ini yang masih menggugat kesihatan awam di dunia, negara dan negeri ini," katanya.

p>



Sumber : PKPP: Waktu operasi semua premis makanan di Pahang dilanjut 10 malam

Post a Comment

0 Comments