PKPP: Rakyat kini antara barisan hadapan perangi wabak

ALOR SETAR: Rakyat kini menjadi antara barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara sehingga 31 Ogos depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata peranan dan tanggungjawab Kementerian Kesihatan kini dikongsi bersama masyarakat sehingga vaksin COVID-19 diperoleh.

Katanya, rakyat boleh mendapat pelbagai maklumat berkaitan melalui aplikasi MySejahtera termasuk memastikan kawasan yang mahu dikunjungi adalah bebas jangkitan.

"Sekarang kita memasuki fasa PKPP bermula 10 Jun hingga 31 Ogos, bermakna rakyat adalah barisan hadapan sebenar apabila peranan dan tanggungjawab Kementerian Kesihatan boleh dikongsi bersama masyarakat.

"Kita minta rakyat muat turun aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan maklumat paling tepat dan terkini termasuk komponen data harian kes COVID-19.

"Melalui aplikasi ini, rakyat boleh tahu kawasan mana ada kes baharu COVID-19 atau kes berlaku dalam tempoh 14 hari. Jika kawasan itu dilihat sebagai zon hijau, maka tiada kes sehingga jarak satu kilometer," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Adham mengadakan lawatan ke Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar dan meninjau operasi Klinik Pergigian Bandar Alor Setar.

Mengenai Program Pengurangan Risiko Daerah (DRPP), Dr Adham menjelaskan, program itu bertujuan melindungi semua kawasan zon hijau COVID-19 dan mengawal kawasan yang dikategori sebagai zon hijau.

"Program yang diperkenal di setiap daerah di seluruh negara berperanan menangani zon kuning dan melindungi zon hijau agar terus kekal selamat.

"Bagi memastikan DRPP berjaya, Menteri Besar setiap negeri boleh membawa program ini ke setiap daerah dan dibantu Pegawai Kesihatan Daerah bagi mengukuhkan kesihatan awam," katanya.

Pada masa sama, Dr Adham yakin dengan tahap pematuhan rakyat Malaysia sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sehingga tidak berlaku peningkatan serius kes COVID-19 termasuk selepas sambutan Aidilfitri.

Berikutan itu, beliau meminta orang ramai yang tidak mempunyai urusan di luar, terus kekal berada di rumah, mengelak kawasan sesak serta terus menjaga kebersihan diri bagi mengelak dijangkiti COVID-19.



Sumber : PKPP: Rakyat kini antara barisan hadapan perangi wabak

Post a Comment

0 Comments