
SEREMBAN: Semua pemain dalam skuad Liga Perdana Negeri Sembila sihat sekali gus membolehkan mereka memulakan latihan dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, bermula esok.
Ini disahkan Ketua Jurulatih NS, Sazali Saidon yang menjelaskan ujian saringan tahap kesihatan semua pemain terbabit diambil pada Jumaat lalu.
Katanya, pihaknya sudah membuat persiapan untuk memulakan latihan dengan SOP ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berpandukan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Latihan pasukan NS akan bermula pagi esok berpandukan SOP ditetapkan pihak berkuasa dan akan diadakan secara tiga sesi dengan setiap sesi membabitkan hanya 10 pemain dan empat pegawai.
"Setiap SOP ditetapkan MFL, MKN dan KKM akan dipatuhi sepenuhnya termasuk penjarakan sosial antara pemain selain pemeriksaan suhu badan sebelum latihan manakala selesai tempoh latihan pemain dikehendaki terus pulang ke rumah.
"Taklimat mengenai SOP latihan ini sudah dijelaskan kepada pemain, baru-baru ini dan mereka memahami sepenuhnya mengenai kaedah dan corak latihan yang akan dilaksanakan esok," katanya di sini, hari ini.
Sazali berkata, pihaknya tiada masalah untuk mengikuti setiap SOP ditetapkan terutama ketika latihan dijalankan dan akan terus memastikan setiap pemain mematuhi peraturan itu dengan baik.
Pengendali berasal dari Johor itu berkata, sepanjang latihan skuad Hobin Jang Hobin itu juga dijangka dihadiri pegawai MKN untuk memantau sejauh mana pematuhan SOP.
"Kami akur dengan SOP ditetapkan dan saya akan pastikan latihan ini berjalan dengan baik," katanya.
Sumber : Skuad Hobin Jang Hobin mulakan latihan esok
0 Comments