SST: PETRONAS setuju tarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah - Abang Johari

PETRA JAYA: Prosiding di Mahkamah Rayuan pada 23 Jun ini hanya prosedur undang-undang untuk Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching sebelum ini berhubung Cukai Jualan Negeri (SST), kata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Beliau berkata, PETRONAS sudah bersetuju menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, tiga bulan lalu, yang memberi hak kepada Sarawak untuk memungut cukai penjualan produk petroleum.

"Jika anda ingin menarik balik sesuatu permohonan di mahkamah, ada prosedur yang harus diikuti.

"Prosiding pada 23 Jun ini hanyalah pendengaran atau pengurusan kes untuk PETRONAS menarik balik rayuan yang dibuat sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di ibu pejabat parti itu di Jalan Bako, di sini, semalam.

Abang Johari berkata, berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching sebelum ini, PETRONAS perlu membayar SST tetapi apabila mereka mengemukakan rayuan, ia perlu melalui proses undang-undang lagi.

"Berdasarkan penilaian pada 2019, SST yang perlu dibayar oleh PETRONAS dianggarkan sebanyak RM2.8 bilion," katanya.



Sumber : SST: PETRONAS setuju tarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah - Abang Johari

Post a Comment

0 Comments