Messi cergas untuk berdepan Mallorca

MADRID: Lionel Messi pastinya tahu menguruskan kecergasannya untuk penamat musim La Liga tetapi dia tidak mengalami kecederaan menjelang kepulangan Barcelona bagi berdepan Real Mallorca awal pagi esok, kata jurulatih Quique Setien.

Messi terlepas tiga sesi latihan minggu lalu kerana kurang selesa di bahagian paha tetapi kembali berlatih sepenuhnya sejak Isnin.

"Dia dalam keadaan yang bagus, dia sudah berlatih dengan semua rakan sepasukan dan berasa bagus. Saya tidak nampak sebarang masalah," kata Setien dalam sidang akhbar, awal pagi tadi.

Barcelona akan menentang Mallorca selepas penangguhan tiga bulan kerana pandemik COVID-19.

La Liga bermula semalam dan akan tamat pada 19 Julai dengan pasukan akan menamatkan 11 perlawanan dalam tempoh 39 hari.

Tempoh yang singkat itu akan memberikan tekanan kepada pemain seperti Messi, yang amat penting dalam usaha Barca meraih gelaran.

Mereka kini dua mata di depan Real Madrid di persada liga.

Ditanya sama ada Messi boleh bermain dalam semua 11 perlawanan, Setien berkata: "Kami perlu melakukannya, Messi dan ramai lagi pemain berpengalaman tahu menguruskan diri mereka. Jika ada sebarang risiko, dia yang pertama akan berkata dia perlukan rehat."

Setien juga berkata Luis Suarez boleh bermain selepas sembuh daripada kecederaan lutut tetapi perlukan masa untuk mencapai kecergasan penuh.

"Dia mungkin akan bermain tetapi mungkin tidak sepenuh perlawanan," kata Setien. - AFP



Sumber : Messi cergas untuk berdepan Mallorca

Post a Comment

0 Comments