
KEMAMAN: Polis menahan 28 lelaki termasuk penonton dan dua warga Indonesia dalam serbuan di lokasi perjudian laga ayam di Jalan Ibok, Ayer Jernih, dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata kesemua mereka ditahan dalam serbuan yang dilakukan jam 12 tengah hari, hasil aduan awam.
"Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman membuat pemantauan di situ dalam tempoh 15 minit.
"Kita dapati sekumpulan lelaki berada di gelanggang laga ayam dan satu kumpulan lagi berada di meja ping-pong.
"Hasil serbuan itu kita berjaya menahan kesemua suspek termasuk dua lelaki warga Indonesia dan merampas empat ekor ayam laga," katanya.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati penganjur perjudian itu adalah seorang lelaki berusia 40 tahun yang merupakan penduduk di situ.
"Lelaki itu mendakwa sudah beroperasi sejak setahun lalu dan lokasi perjudian itu adalah kawasan rumahnya. Dia juga mengaku menerima komisen daripada aktiviti itu yang diadakan setiap Jumaat, dua kali sebulan," katanya.
Kes disiasat mengikut seksyen 6 Akta Pertaruhan 1953 dan seksyen 32(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Sumber : 28 ditahan, judi laga ayam
0 Comments