
JOHANNESBURG: Afrika Selatan pada Sabtu melaporkan lebih 10,000 kes baharu COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam, yang disifatkan satu jumlah harian tertinggi di negara itu.
Jumlah kes harian yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan menunjukkan 10,853 kes COVID-19 yang baharu disahkan, menjadikan kumulatif kes sejak dikesan di negara itu pada Mac lalu kepada 187,977 kes.
Negara itu turut merekodkan 3,026 kematian dengan 74 kematian baharu dicatatkan.
Pihak berkuasa kesihatan telah menjangkakan peningkatan kes akan berlaku selepas kerajaan melonggarkan perintah berkurung yang dikuatkuasakan sejak 27 Mac.
Dengan ekonomi negara diunjurkan menyusut lebih tujuh peratus pada tahun ini kesan penularan pandemik, terburuk dalam tempoh 90 tahun, pemimpin negara itu berusaha mencapai keseimbangan antara menyelamatkan nyawa dan ekonomi.
"Apa yang ingin kami lakukan adalah menyeimbangkan ... menyelamatkan nyawa rakyat kami dan juga memelihara kehidupan, kata Presiden Cyril Ramaphosa pada Jumaat.
Afrika Selatan yang paling maju dari segi ekonomi di Afrika kini mempunyai jumlah kes COVID-19 tertinggi di benua itu.
Sumber : COVID-19: Afrika Selatan rekod lebih 10,000 kes dalam 24 jam
0 Comments