
KUALA LUMPUR: Buat kali pertama, penyanyi Azlan The Typewriter terbuka hati berkolaborasi dengan Budak Baru Nak Up (BBNU), Yonny Boii menerusi single bergenre balada berjudul Kelabu.
Karya usaha sama sulung Universal Music dan Indigital Music itu secara tidak langsung menyaksikan gabungan penyanyi generasi lama dan baharu, sekali gus memberi cetusan segar yang diharap dapat menambat hati peminat muzik tempatan.
Single Kelabu pernah tular selepas demo dinyanyikan Yonny Boii bocor di laman maya pada Oktober 2019.
"Saat dipelawa untuk berduet dengan Yonny Boii, saya teruja menjadi sebahagian sejarah yang bakal dicipta. Sejak awal mendengar melodi single ini, ia sudah menambat hati. Saya boleh katakan ia sebagai satu eksperimen berbeza, apatah lagi menyatukan dua generasi penyanyi.
"Bagaimanapun, saya mengambil masa untuk menyatakan persetujuan menyanyikan single Kelabu ini. Namun, hingga kini, saya percaya keputusan untuk terbabit dalam karya ini bukan sia-sia.
"Selepas dikaji dan diamati secara mendalam gabungan suara ini, ia mungkin akan dapat memperkuatkan lagi aura single berkenaan. Kami cuba saling melengkapi antara satu sama lain," kata Azlan kepada BH Online.
Rakaman single Kelabu dibuat secara berasingan sekitar April lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuat kuasa.
"Secara kebetulan, rumah kami dilengkapi studio, jadi proses rakaman secara berasingan bukan masalah besar, apatah lagi dilakukan pada saat penularan pandemik COVID-19 hingga PKP dikuat kuasa. Kami lebih banyak masa di rumah.
"Saya mengubah semula komposisi muzik ini. Proses memasukkan rakaman suara untuk single ini mengambil masa lebih kurang enam jam. Saya perlu ambil masa ini untuk memastikan kualiti vokal disunting tanpa terlalu banyak proses suntingan.
"Untuk menambah 'feel', saya banyak membuat latihan telinga dengan kembali mendengar lagu berentak R&B dan rock sebagai rujukan serta ilham," kata Azlan.
Mengulas apa yang tersirat dalam single Kelabu, pemilik nama penuh, Nor Azlan Rosle berusia 38 tahun itu mentafsirkan sebagai ideologi dan persepsi.
"Single ini umpama situasi yang ada kalanya kita melihat keadaan sekeliling berwarna kelabu. Ia tidaklah terlalu gelap gelita atau hitam kerana di penghujungnya pasti ada sinar yang menanti.
"Saya menganggarkan single ini seperti campuran ideologi pemikiran yang ada unsur positif dan negatif. Positif mewakili warna putih, manakala negatif pastinya hitam. Kebanyakan pemikiran remaja masa kini mahu mencari jalan ke arah lebih positif. Itu satu perkembangan baik untuk golongan remaja 'purba' seperti saya mendengarnya," kata bekas vokalis Meet Uncle Hussain ini.
Sempat ditanya mengenai Yonny Boii, penyanyi lagu Jangan Khianati Aku itu melihat komposer dan penyanyi hip hop muda itu cukup berbakat besar.
"Apa yang saya lihat, Yonny Boii sangat peka kepada bunyi baharu yang agak moden. Eksperimennya sangat berjaya.
"Lihat sahaja aliran perjalanan lagu Sakit dendangannya menampilkan Zynakal cukup istimewa dan mempesonakan.
"Melihat konteks nyanyian daripada segi seni vokal teknik R&B, Yonny Boii dalam kategori cemerlang. Cuma, nasihat saya penyanyi muda sepertinya perlu menetapkan hala tuju supaya industri muzik sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman," katanya.
Sementara itu, Pengurus Promosi Domestik Universal Music Malaysia, Anne Mukhtar berharap karya ini akan terus membuatkan industri muzik tempatan bernyawa.
"Universal Music optimis dan menaruh harapan menggunung untuk single Kelabu dapat diterima peminat muzik.
"Ia sebenarnya satu kolaborasi tidak diduga. Siapa sangka Azlan The Typewriter terbuka hati menjalinkan kerjasama dengan Yonny Boii. Ia pastinya menjadi sejarah apabila dua penyanyi berbeza zaman bersatu atas nama muzik," kata Anne.
Lagu dan lirik video muzik Kelabu sudah dilancarkan di semua platform muzik terpilih, manakala video muzik rasminya pula dijangka dilancarkan sebulan lagi.
Pada masa masa, kempen anti buli turut diadakan sempena kehadiran single Kelabu, sebelum video muzik dilancarkan.
Sempena kempen itu, 30 pendorong atau 'influencer' akan mendedahkan kotak misteri yang diterima mengandungi pemacu pena dan surat daripada mangsa buli.
Bagi peminat single Kelabu atau mereka yang mahu berkongsi pengalaman kena buli, boleh menulis tanda pagar #KELABU #HentikanBuli
Sumber : Terbuka hati kolaborasi bersama penyanyi BBNU
0 Comments