Affin Bank berdepan implikasi kos RM80 juta

KUALA LUMPUR: Affin Bank Bhd (AFFINBANK) dijangka berdepan implikasi kos RM80 juta susulan pelaksanaan moratorium selama enam bulan yang bermula April 2020 hingga September ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Wan Razly Abdullah Wan Ali, berkata moratorium itu mewakili 63 peratus daripada keseluruhan pinjaman kumpulan perbankan itu yang berjumlah RM45 bilion.

Beliau berkata, pinjaman tidak berbayar (NPL) kumpulan perbankan itu berada pada paras 3.11 peratus setakat suku pertama 2020.

Katanya, AFFINBANK mempunyai RM4 bilion pinjaman untuk syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), manakala perbankan pengguna terutama gadai janji dan kad kredit berjumlah RM24 bilion.

"Moratorium memungkinkan kami untuk tidak mengenakan caj kepada pelanggan untuk jangka masa enam bulan, yang mana kebanyakannya membabitkan sewa beli dan pinjaman peribadi. Persetujuan dibuat oleh kami, Bank Negara Malaysia dan kerajaan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan AFFINBANK di sini, hari ini.

Melangkah ke depan, Wan Razly berkata, AFFINBANK melaksanakan pelan transformasinya dikenali 'Affinity in Motion' (AIM22) untuk tahun kewangan 2020 hingga 2022.

Beliau berkata, pelan itu membabitkan beberapa bahagian tumpuan utama termasuk memberi fokus kepada pulangan ekuiti (ROE); menurunkan keseluruhan kos dana dengan merancang semula lembaran imbangan; transformasi digital untuk mengurangkan jurang antara bank dengan peserta industri lain; memberi fokus kepada modal insan dan produktiviti serta mempertingkat pengurusan risiko melalui peningkatan inisiatif pengurusan kualiti aset, risiko kecairan dan pengurusan modal.

Katanya, pelan itu juga adalah sebahagian daripada inisiatif Advance 30 (A30) kumpulan perbankan itu.

"AIM22 mengambil kira perkara utama seperti meningkatkan marjin faedah bersih, meningkatkan pendapatan berasaskan fi, mengurangkan kos dana, mengurus kos dan mengembangkan kemampuan digital kami," katanya.

Wan Razly berkata, AFFIN BANK juga telah memulakan dan meningkatkan teknologi digitalnya untuk menawarkan produk

dan perkhidmatan kewangan mesra pengguna yang memenuhi keperluan pelanggan.

Beliau berkata, pihaknya telah berjaya melaksanakan perbankan internet runcit yang baharu dirombak pada Julai

2020 dan melancarkan platform perbankan internet korporat dikenali sebagai AffinMax.

Di samping itu, kumpulan perbankan itu juga telah melaksanakan langkah kecekapan baharu sejak April 2020. Objektif inisiatif kecekapan itu adalah untuk mendorong penjimatan kos dan amalan kecekapan di seluruh bank.

Inisiatif awal yang dilaksanakan merangkumi pengurangan pembaziran kertas, tenaga, inisiatif penjimatan, pengukuran tenaga kerja yang betul, automasi dan digitalisasi proses untuk meningkatkan produktiviti.

"Semua inisiatif ini bertujuan menanam budaya yang menitik beratkan kos dan budaya berprestasi tinggi dalam kumpulan. Pada masa sama, atas keprihatinan terhadap kesan pandemik COVID-19, Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan telah menawarkan diri untuk pengurangan yuran dan gaji hingga 10 peratus," katanya.

Mengulas sama ada AFFINBANK bercadang untuk menyenaraikan unit pengurusan asetnya, Affin Hwang Asset Management Bhd, Wan Razly berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan melaksanakannya jika mencapai nilai yang diinginkan.

Namun, beliau menegaskan, pihaknya belum lagi memutuskan mengenai perkara itu.



Sumber : Affin Bank berdepan implikasi kos RM80 juta

Post a Comment

0 Comments