Haramkan pertubuhan bertentangan Perlembagaan Persekutuan

Kuala Lumpur: Mana-mana pertubuhan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan perlu diharamkan.

Seorang penyokong kerajaan mencadangkan perkara itu bagi memastikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik bergerak selaras dengan objektif penubuhannya.

Datuk Seri Hasan Arifin (Rompin-BN) yang membuat gesaan itu berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mewujudkan undang-undang yang tegas berhubung perkara itu.

Beliau juga menggesa semua Ahli Parlimen di negara ini berpendirian tetap mengatakan tidak kepada pertubuhan yang berjuang di luar batas Perlembagaan Persekutuan.

"Kita telah bersumpah menjadi Ahli Parlimen untuk menjaga Perlembagaan Persekutuan. Mana-mana pertubuhan yang ditubuhkan berjuang di luar Perlembagaan harus diharamkan," katanya berbahas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau-BN) berkata, tindakan orang Melayu untuk mempertahan dan memperjuangkan hak bangsa itu di negara ini tidak sepatutnya dianggap sebagai agenda berunsur perkauman.

Katanya, orang Melayu cuma ingin membela nasib mereka, kaum Bumiputera dan umat Islam.

"Orang Melayu tidak mengambil hak orang lain namun ada pihak yang menuduh mereka sebagai rasis.

"Siapa yang rasis sekarang? Kami tak menafikan hak bangsa lain. Kami minta diperjuangkan nasib kami, itu sahaja. Jadi tidak timbul soal rasis di sini," katanya meminta laluan mencelah perbahasan Ahli Parlimen Warisan Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.



Sumber : Haramkan pertubuhan bertentangan Perlembagaan Persekutuan

Post a Comment

0 Comments