
PARIS: Sekurang-kurangnya 566,075 orang maut di seluruh dunia akibat pandemik COVID-19 sejak ia dikesan di China Disember lalu, menurut rekod AFP pada Ahad.
Kes positif di seluruh dunia membabitkan 196 negara dan wilayah direkodkan sekurang-kurangnya 12,798,410 kes.
Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 6,811,600 disahkan pulih.
Jumlah itu diperoleh AFP daripada data yang dikumpul hasil maklumat daripada pihak berkuasa negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Bagaimanapun ia tidak memaparkan jumlah sebenar kes berikutan kebanyakan negara hanya menjalankan ujian ke atas kes bergejala dan serius.
Sejak 1900 GMT pada Ahad, 4,442 kematian dan 202,975 kes baharu direkodkan di seluruh dunia.
Brazil menjadi negara paling tinggi mencatatkan kematian pada Ahad dengan 1,071 kematian, diikuti Amerika Syarikat (AS) (636) dan India (551).
AS terus menjadi negara paling teruk terkesan akibat pandemik COVID-19 apabila mencatatkan jumlah kumulatif kematian 135,066 daripada 3,282,554 kes.
Selepas AS, Brazil dengan 71,469 kematian daripada 1,839,850 kes, United Kingdom (UK) (44,819 kematian daripada 289,503 kes), Itali (34,954 kematian daripada 243,061 kes) dan Mexico (34,730 kematian daripada 295,268 kes).
Negara yang mempunyai kadar kematian tertinggi adalah Belgium dengan 84 kematian per 100,000 penduduk, diikuti UK (66), Sepanyol (61), Itali (58) dan Sweden (55). - AFP
Sumber : COVID-19: 566,075 maut di seluruh dunia
0 Comments