
JOHANNESBURG: Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa pada Ahad mengembalikan perintah berkurung pada waktu malam dan menghentikan penjualan alkohol ketika jangkitan coronavirus semakin meningkat, sekali gus bagi mengelak sistem kesihatan berisiko ditimpa bencana.
Jumlah jangkitan sejak beberapa hari kebelakangan ini meningkat dengan sekurang-kurangnya 12,000 jangkitan dicatatkan setiap hari, yang menjadikannya sekitar 500 jangkitan setiap jam, sekali gus melemahkan sumber penjagaan kesihatan.
Afrika Selatan adalah negara yang paling teruk terjejas di benua ini dengan 276,242 kes direkodkan termasuk 4,079 kematian pada Ahad.
"Ketika kita menuju ke puncak jangkitan, sangat penting kita tidak membebani klinik dan hospital dengan kecederaan yang berkaitan dengan alkohol.
"Oleh itu, kami memutuskan untuk menjaga kemampuan hospital, penjualan, pengeluaran dan pengedaran alkohol akan ditangguhkan dengan segera," kata Ramaphosa.
Kali pertama larangan penjualan minuman keras di Afrika Selatan dilaksanakan pada Mac sebelum ditarik balik pada 1 Jun.
Bagaimanapun, Ramaphosa membatalkan langkah itu, dengan mengatakan "sekarang ada bukti yang jelas bahawa penarikan balik larangan penjualan alkohol mengakibatkan tekanan yang besar terhadap hospital termasuk unit trauma dan ICU, akibat kemalangan kenderaan bermotor, kekerasan dan juga trauma yang disebabkan alkohol."
Beliau turut mengarahkan perintah berkurung dari jam 9 malam hingga jam 4 pagi mulai Isnin.
Ramaphosa juga melarang kunjungan keluarga dan sosial bagi mengekang penularan COVID-19. - AFP
Sumber : COVID-19: Afrika Selatan kembalikan perintah berkurung
0 Comments