Polis terima 672 laporan penipuan sindiket pelaburan haram

KUALA LUMPUR: Polis menerima 672 laporan penipuan membabitkan sindiket pelaburan haram yang mengakibatkan mangsa mengalami kerugian RM93.7 juta, sejak awal tahun ini.

Daripada jumlah laporan itu, 467 daripadanya adalah pelaburan secara dalam talian dengan kerugian dialami mangsa mencecah RM52.3 manakala bakinya penipuan pelaburan secara bersemuka (RM41.4 juta).

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata sindiket itu menawarkan beberapa pakej dan menjanjikan keuntungan lumayan sehingga 13 kali ganda daripada modal dilaburkan dalam masa singkat.

"Sindiket ini akan meminta mangsa untuk memasukkan wang ke akaun individu atau syarikat untuk dijadikan modal pelaburan.

"Setelah itu, suspek akan menunjukkan jumlah keuntungan dalam satu platform seperti 'meta trader' untuk meyakinkan mangsa.

"Sebagai syarat untuk menuntut keuntungan, mangsa diminta membuat bayaran lain seperti yuran perjanjian dan bayaran kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Sindiket ini menggunakan platform media sosial seperti Facebook dan Telegram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Mengulas perkembangan berkaitan, Saiful Azly berkata, pihaknya mengenal pasti 13 sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan itu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Katanya, sindiket itu ialah i-Rakyat Trade, IQ Option, Global Investement, Wei Jian Zhi, Olymp Trade, AA Anthony, Global Trader, People Global Network, Rakuten Trade, Wine Exchange China, GWFX Global, Private Investment Trade Dubai (PITD) dan London Stock Exchanges (LSE).

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan testimoni atau janji palsu ditawarkan pihak tertentu yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

"Sebaiknya semak dan dapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti aplikasi 'semakmule', BNM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum membuat keputusan untuk membuat pelaburan," katanya.



Sumber : Polis terima 672 laporan penipuan sindiket pelaburan haram

Post a Comment

0 Comments