RTS dimuktamad, dimeterai 30 Julai

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura mencapai kesepakatan untuk memuktamadkan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan kedua-dua negara.

Majlis pemeteraian tiga perjanjian, iaitu bilateral, konsesi dan usaha sama RTS dijadualkan berlangsung di Tambak Johor, dengan disaksikan Perdana Menteri kedua-dua negara, pada 30 Julai ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong, ketika mengumumkan perkembangan itu berkata proses pembinaan RTS dijangka bermula sejurus kelulusan sewajarnya diperoleh pada Januari, tahun depan dan beroperasi sepenuhnya menjelang penghujung 2026.

"Pembinaan RTS akan dilakukan dalam dua fasa, iaitu bahagian pertama pada awal 2021 hingga hujung 2024, merangkumi fasa pembinaan atau pembangunan struktur sivil.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

"Manakala awal 2025 hingga hujung 2026, ialah pembinaan sistem seperti isyarat, 'rolling stock', telekomunikasi, pentauliahan dan pengujian sistem," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Akmal Nasir (PKR-Johor Bahru) mengenai status terkini rundingan Malaysia-Singapura berkaitan projek RTS.

Kepada soalan tambahan Akmal mengenai kos sebenar pembinaan RTS dan langkah kerajaan untuk menjamin ia berupaya menawarkan tambang pada kadar berpatutan, Ka Siong berkata faktor yang mempunyai kaitan dengan rakyat serta penumpang sentiasa diberikan keutamaan.

"Mengenai kos, kita kena buat perbandingan, kalau pada awal 2018, sistem yang dicadangkan ketika itu adalah transit aliran massa (MRT), tetapi selepas mengambil pelbagai faktor pertimbangan, ia ditukar menjadi transit aliran ringan (LRT).

"Dari segi spesifikasi, ia berlainan. Kedua, kos tanah, ini juga atas ihsan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan untuk membantu kita dalam hal ini, maka kerajaan tidak pakai sehingga kos siling.

"Seperti diumumkan bekas Menteri Pengangkutan (Anthony Loke), betul masa itu RM3.16 bilion, tetapi apabila kita pindah stesen, di mana depoh itu kalau dulu di Mandai, tidak perlu buat depoh.

"Tetapi apabila dipindahkan ke Wadihana, di kawasan Yang Berhormat juga, maka kita terpaksa

sediakan satu depoh dan perbelanjaan dari segi kos, pengambilalihan tanah, pembinaan, sistem keselamatan seperti ditetapkan Malaysia dan Singapura, ia memerlukan kos tambahan RM500 juta," katanya.

Sehubungan itu, Ka Siong berkata, pertambahan kos berkenaan menjadikan nilai keseluruhan projek meningkat kepada kira-kira RM3.7 bilion, termasuk meliputi spesifikasi yang dipersetujui antara Malaysia dan Singapura.

Katanya, mekanisme pembiayaan projek itu berkemungkinan dilaksanakan melalui dana infra yang memperuntukkan kaedah lebih dinamik, selepas perbincangan dengan Kementerian Kewangan.

"Sama ada 'deferred payment' (pembayaran tertunda) mampu untuk kita bayar atau tidak, ia tidak wujud kerana perkara ini sudah diambil kira oleh Kementerian Kewangan dan diperuntukkan belanjawan dalam kes ini.

"Dari segi tambang, kita tetapkan mekanisme tambang yang tidak bebankan rakyat, jadi kedua-dua negara menganggap ini adalah projek pengangkutan awam, maka ia (kos) tidak ditanggung sepenuhnya oleh pengguna.

"Kadarnya sudah dipersetujui kedua-dua negara, dengan mengambil kira faktor sosial bagi Malaysia-Singapura. Sekiranya naik dari Malaysia, tambang dibayar dalam ringgit, jika Singapura adalah dolar," katanya.



Sumber : RTS dimuktamad, dimeterai 30 Julai

Post a Comment

0 Comments