Tentera tahan 16 warga Indonesia di Bandar Penawar

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan 16 warga Indonesia di Ladang Sungai Tengah dan Ladang Brunai, Bandar Penawar, Johor, pagi ini.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Kem Terendak Melaka dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kesemua individu berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan anggota Rejimen Ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) yang melaksanakan Op Benteng.

"Pasukan bertindak atas maklumat daripada anggota bertugas di menara tinjau Ladang Sungai Tengah yang mengesan kehadiran bot asing mencurigakan sekitar jam 1 pagi.

"Tangkapan terhadap dua lelaki dan seorang perempuan warga Indonesia dipercayai sedang menunggu bot untuk membawa mereka pulang ke Indonesia," menurut kenyataan itu.

Selain itu, pasukan 61 RAD juga menahan sebuah bot pancung berserta enjin membabitkan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM36,000, tujuh buah telefon bimbit serta wang tunai RM1,550 dan 21.1 juta (RM6,236).

Sementara itu, dalam tangkapan kedua yang juga hasil maklumat daripada anggota bertugas di menara tinjau, mengesan kehadiran sebuah bot mencurigakan di kawasan Ladang Brunai sekitar 2 pagi.

"Hasil tindakan pantas pasukan 61 RAD, membawa kepada tangkapan enam lelaki dan tujuh wanita warga Indonesia yang dipercayai baru tiba di negara ini, serta nilai rampasan berjumlah RM8,000," kata kenyataan itu.

Kesemua individu berkenaan diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian COVID-19.

Menurut kenyataan itu, usaha menjejaki diteruskan dengan bantuan pasukan dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP). - BERNAMA



Sumber : Tentera tahan 16 warga Indonesia di Bandar Penawar

Post a Comment

0 Comments