
JOHOR BAHRU: Transit di kawasan perairan antarabangsa menjadi teknik terbaru sindiket penyeludupan migran ke negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay, berkata sindiket dipercayai menggunakan kapal besar untuk membuat pertukaran, namun ia masih dalam siasatan.
Katanya, terbaru beberapa sindiket penyeludupan migran ditumpaskan dengan penahanan 93 individu termasuk 11 tekong, 79 migran dan dua transporter dalam lima operasi dijalankan pada 19 hingga 22 Julai lalu.
"Mereka yang ditahan termasuk bayi perempuan berusia setahun sembilan bulan hingga 53 tahun.
"Operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Johor, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam, Kota Tinggi, Iskandar Puteri dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua.
"Pada 19 Julai lalu, PPM wilayah dua menahan 15 migran Indonesia bersama empat tekong Indonesia di kawasan perairan Sungai Rengit Pengerang. Susulan itu, dua tekong dan seorang migran warga negara sama ditahan," katanya dalam sidang media di IPK Johor, di sini, hari ini.
Ayob Khan berkata, pihaknya menahan 34 migran Indonesia dalam serbuan berasingan di Seri Alam dan Kota Tinggi, pada 20 Julai lalu.
Katanya, lapan migran ditahan di sebuah Homestay di Seri Alam yang digunakan sebagai rumah penampungan sebagai modus operandi mereka.
"Manakala serbuan di tepi jalan Batu 12, Kampung Mawai, Kota Tinggi pula menahan 26 migran, susulan penangkapan itu, keesokannya polis menahan seorang lelaki warga Indonesia bertindak sebagai transporter kepada semua migran ditahan.
"Seramai 21 migran dari Bangladesh yang dibawa dengan sebuah bas ditahan termasuk transporter dalam Ops Benteng di Lebuhraya Pelabuhan Tanjung Pelepas, pada 21 Julai lalu", katanya.
Beliau berkata, IPD Iskandar Puteri pula membuat serbuan di Kampung Tanjung Adang dan menahan lapan migran Indonesia, pada 22 Julai.
Katanya hasil siasatan mendapati kesemua migran dipercayai ingin pulang ke Indonesia melalui jalan tidak sah dengan kadar bayaran RM1,300 seorang.
"Hasil soal siasatan, seorang lelaki warga tempatan ditahan di Taman Desa Paya Mengkuang Gelang Patah, dipercayai sebagai tekong kepada lapan yang ditahan.
"Turut dirampas dalam lima operasi ialah tiga bot pancung, lima enjin bot 40 kuasa kuda, 28 unit telefon bimbit, sebuah kereta dan bas serta wang tunai pelbagai matawang asing bernilai RM8,048 ",katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Atipsom 2007, Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55e (2) Akta Imigresen 1959/63.
Sumber : Transit taktik baru sindiket seludup migran
0 Comments