KUANTAN: Sebanyak 1,500 kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis di daerah ini kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Datuk Hamdan Hussin, berkata kompaun dikenakan itu bagi memberi kesedaran, mengenai kepentingan pematuhan SOP oleh setiap premis untuk mengekang penularan wabak COVID-19.
Katanya, pemeriksaan mendapati hampir 30 peratus premis yang beroperasi, didapati tidak mematuhi SOP digariskan hingga memaksa pihak penguatkuasaan mengeluarkan kompaun terhadap pemilik premis.
"Premis yang tidak patuh SOP dikenakan kompaun antara RM250 hingga RM500 dan kebanyakan kompaun yang dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada penjarakan fizikal dan tidak mencatat maklumat kemasukan pelanggan.
"Kesalahan ini kita kesan di beberapa pasar raya, kedai makan, bengkel dan beberapa premis perniagaan di sekitar daerah ini selepas pemeriksaan secara berterusan dilakukan," katanya dihubungi di sini, hari ini.
Hamdan berkata, pihaknya bersama beberapa agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus komited mengadakan operasi penguatkuasaan setiap hari di sekitar bandar ini, semua premis akan diperiksa secara berperingkat mengikut jadual yang disediakan.
Katanya, operasi terbabit dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan akan berterusan bagi menguatkuasakan pematuhan kepada SOP yang ditetapkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM).
Sumber : 1,500 kompaun premis tidak patuh SOP
0 Comments