KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan arahan pemakaian wajib pelitup muka di tempat awam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini lebih kepada aspek menasihat dan mengingatkan orang ramai.
Pendekatan ini bertujuan mengingatkan masyarakat bahawa bermula hari ini 1 Ogos, pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan ketika berada di kawasan sesak, tempat tumpuan umum dan pengangkutan awam.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Ketenteraman Awan, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata hasrat utama pihaknya adalah untuk saling mengingatkan masyarakat untuk menerapkan budaya baharu iaitu pemakaian pelitup muka.
"Mungkin ada individu yang terlupa atau tidak tahu mengenai kewajipan ini dan pihak polis akan mengingatkan mereka budaya baharu ini demi keselamatan dan kesihatan bersama.
"Walaupun penguatkuasaan pemakaian pelitup muka bermula hari ini, pendekatan kami adalah saling mengingati atau dalam konteks kita jaga kita," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.
Acryl Sani berkata, setakat ini pendekatan menasihat dan mengingatkan orang awam berhubung pentingnya pemakaian pelitup muka sedang dilaksanakan sebelum tindakan mengeluarkan kompaun akan dilakukan sekiranya ada pihak yang didapati sengaja tidak mematuhi arahan berkenaan.
"Mungkin dalam dua atau tiga hari ini kita akan memberi nasihat dan teguran dan selepas itu kita akan mengeluarkan kompaun.
"Kerajaan tidak kejam untuk bertindak melulu mengambil tindakan kompaun sebaliknya lebih mengutamakan pendekatan saling mengingatkan antara satu sama lain," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Polis Daerah Petaling Jaya juga turut melakukan tinjauan terhadap pematuhan pemakaian pelitup muka di sekitar Petaling Jaya hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, turut memantau pemakaian pelitup muka di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya dan kawasan perniagaan di lokasi berhampiran sambil memberi nasihat tentang kewajiban pemakaian pelitup muka di tempat sesak dan lokasi tumpuan ramai.
Pada masa sama, beliau bersama pegawai dan anggotanya turut menyampaikan topeng kepada orang ramai termasuk peniaga.
Katanya, untuk peringkat awal pendekatan memberi nasihat dan teguran akan dilakukan sebelum tindakan kompaun diberikan sekiranya ada yang masih berdegil.
Sumber : Operasi polis lebih kepada nasihat, mengingatkan - Bukit Aman
0 Comments